UMNO Pasir Gudang Perkukuh Gerak Kerja Menjelang PRN Johor – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 2 Jun – UMNO Bahagian Pasir Gudang terus memperkukuhkan gerak kerja parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang yang diadakan petang tadi di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti berada pada tahap terbaik.

“Petang tadi, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang telah diadakan untuk membincangkan persiapan menghadapi PRN Johor di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang.
“Susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor, mesyuarat memberi tumpuan kepada perkara berkaitan penamaan calon dan strategi serta gerak kerja parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, perbincangan turut memberi fokus kepada aspek penyelarasan komunikasi dan penyampaian maklumat bagi memastikan gerak kerja di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Fokus turut diberikan kepada penyelarasan komunikasi dan penyampaian maklumat agar gerak kerja di lapangan lebih berkesan.
“Semoga segala perancangan yang dirangka dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera dalam menghadapi pilihan raya yang bakal berlangsung,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa persediaan awal serta komitmen seluruh jentera parti akan menjadi antara faktor penting dalam memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus mendekati rakyat serta menyampaikan agenda perjuangan parti dengan berkesan sepanjang tempoh kempen nanti. – UMNO Online
