Shaiful Hazizy Bidas Pas: ‘Kami Dah Martabatkan Pendidikan Tahfiz Lebih Awal’

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan bahawa pendidikan tahfiz dan sealiran dengannya telah dimartabatkan lebih awal daripada Pas.

Membidas kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, beliau berkata pelbagai peluang telah dicipta agar lulusan sedemikian mendapat peluang pekerjaan.

“Kami dah martabatkan pendidikan tahfiz lagi awal daripada Pas. Kami ‘institusikan’ pendidikan tahfiz dah bertahun-tahun lama dulu. Ketua Pemuda Pas Selangor jangan malam buat kerja sekolah.

“Tengok Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dah lama ada ulul albab. Tengok macam mana kita berupaya dan pelbagaikan lagi peluang lulusan tahfiz melalui TVET, bagi ruang lulusan dapat kerja, bukan hanya mengajar al-Quran di madrasah dan di rumah-rumah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok, pemohon lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah bersyarat.

“Lulusan UEC boleh masuk IPTA? Dengar betui-betul ya. Setiap daripada pemohon akan tetap kena ambil dan lulus subjek Sejarah serta Bahasa Melayu. Kursus apa untuk UEC? Bahasa Cina, Linguistik Bahasa Cina, Kesusasteraan Bahasa Cina dan Bahasa Cina dengan pendidikan.

“Nak banding dengan sumbangan Pas terhadap pendidikan Islam? PASTI? Gaji cikgu-cikgu pun tak larat nak bayar, masih di bawah gaji minimum.

“Daripada mempertikaikan bab UEC ini, sila perbetulkan rakan anda yang bercakap pelik dan menghina sahabat nabi itu,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan Mohd Sukri berpandangan bahawa kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik permainan persepsi dengan menggunakan aliran tahfiz untuk membenarkan pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina dan UEC untuk mengikuti pengajian di IPTA.

Beliau menegaskan, pelajar aliran tahfiz selama ini tidak mempunyai masalah untuk memasuki IPTA kerana mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar lain.

Tambah beliau, terdapat ramai pelajar tahfiz yang memasuki IPTA dan IPTS melalui saluran biasa tanpa sebarang masalah besar malah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk menjadi pakar dan ahli profesional. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO