UMNO 80 Tahun: Terus Teguh Pertahan Maruah Bangsa, Negara – Haslinda Saleh
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Semangat perjuangan yang dibina sejak lapan dekad lalu perlu terus dipertahankan demi memastikan UMNO kekal menjadi wadah utama membela agama, bangsa dan tanah air.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Saleh berkata, parti itu lahir dan dibina hasil daripada darah perjuangan, air mata rakyat dan semangat mempertahankan maruah bangsa.
Menurutnya, sedari awal perjuangan menentang Malayan Union hinggalah detik keramat menuntut kemerdekaan negara, UMNO sentiasa berada di barisan hadapan memimpin kebangkitan rakyat dan mempertahankan kepentingan orang Melayu serta kestabilan negara.
“Ketika bangsa diperkotak-katikkan, UMNO bangkit menjadi benteng. Ketika negara memerlukan kestabilan, UMNO tampil memikul tanggungjawab. Dan ketika badai politik melanda, UMNO tetap berdiri, tidak tunduk, tidak menyerah.
“Perjuangan ini bukan mudah. Kita pernah dihina, difitnah, dijatuhkan dan diuji. Namun sejarah telah membuktikan, UMNO tidak pernah mati. Semakin ditekan, semakin kuat kebangkitan perjuangan ini. UMNO bukan sekadar parti.
“UMNO adalah jiwa perjuangan rakyat. Parti ini adalah suara akar umbi dan juga ada maruah bangsa yang tidak akan dipadamkan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Haslinda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang turut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti supaya tidak lagi berpecah dan bersama membawa semula kegemilangan UMNO.
“Kita tidak boleh lagi berpecah atau hanya menjadi penonton kepada masa depan bangsa sendiri. Sudah tiba masanya seluruh ahli dan pendukung bangkit dengan satu tekad, satu semangat dan satu perjuangan.
“Mari kita rapatkan saf, satukan hati dan bangkit bersama membawa semula kegemilangan UMNO,” katanya lagi.
Tambah beliau, seluruh akar umbi perlu terus merapatkan saf, menyatukan hati dan bergerak seiring demi mengembalikan kegemilangan UMNO seperti yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.
“Kitalah pewaris perjuangan yang mesti mempertahankan legasi ini demi anak cucu dan masa depan negara.
“Dulu kita bina kemerdekaan. Kini kita pertahankan kesejahteraan. Selamanya kita akan terus berjuang,” jelasnya.
Dalam masa sama beliau menzahirkan ucapan sempena ulang tahun ke-80 UMNO dengan penuh semangat perjuangan.
“UMNO 80 Tahun, takkan hilang di dunia. Selamat ulang tahun UMNO, teguh berdiri bangkit memimpin,” ujarnya. – UMNO Online
