Selamat Ulang Tahun Ke-80, Terima Kasih UMNO

JUJUR kata, saya sertai UMNO pada usia 19 tahun sebab arwah ayah yang suruh isi borang keahlian.

Dalam kepala masa itu tertanya-tanya, “apa sebenarnya UMNO ini?”

Tapi lepas disahkan sebagai ahli, arwah ayah sering bercerita tentang sejarah perjuangan bangsa, susah senang orang Melayu dan bagaimana UMNO menjadi tempat rakyat meletakkan harapan.

Dari situlah rasa sayang terhadap parti ini mula terwujud sampai akhirnya saya sepenuhnya cinta dan kasih kepada parti keramat ini.

Bagi saya, perjuangan dalam UMNO bukan sekadar politik tapi sebahagian daripada perjalanan keluargaku.

Arwah nenek merupakan orang kuat Wanita UMNO di Kampung Serkam.

Arwah ayah pula mengakhiri nafasnya ketika masih memegang amanah sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Emak pula sampai hari ini masih aktif dan setia dengan perjuangan Wanita UMNO.

80 tahun UMNO bukan satu perjalanan yang singkat.

Terlalu banyak sejarah, pengorbanan, jatuh bangun dan ujian yang telah dilalui demi memastikan parti ini terus berdiri hingga hari ini.

Usia 80 tahun bukan bermaksud UMNO sudah tua, tapi semakin matang.

Matang menghadapi cabaran, matang memahami rakyat dan matang memimpin negara dalam pelbagai zaman.

Bermula usia 19 tahun bersama UMNO hinggalah ke hari ini, pelbagai rintangan, dugaan dan ujian telah saya lalui.

Semua itu bukan untuk diri sendiri semata-mata, tapi demi meneruskan perjuangan yang saya percaya masih penting untuk agama, bangsa dan negara.

Kali pertama diberikan peluang untuk bertanding juga bukan sesuatu yang mudah pada pilihan raya umum ke-15 sebagai calon Barisan Nasional Parlimen Masjid Tanah.

Ia amanah yang sangat besar kerana apabila membawa nama UMNO, kita membawa suara parti, harapan ahli dan kepercayaan rakyat.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO Melaka hari ini, saya percaya parti ini mesti terus dihormati dan kembali menjadi tempat sandaran bangsa.

UMNO perlu terus berdiri tegak sebagai sebuah parti yang bukan sahaja mempertahankan bangsanya, tetapi menjaga semua kaum di negara ini.

Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kekal kuat.

Walaupun UMNO pernah melalui beberapa fasa perpecahan dengan terwujudnya Semangat 46 dan kemudian PPBM.

Tapi atas dasar “Rumah Bangsa” yang sebenarnya dah diterapkan sejak dulu lagi, mereka yang pernah keluar atau dipecat parti akhirnya diterima semula tanpa syarat dan dendam.

Itu membuktikan UMNO sebuah parti yang sentiasa berlapang dada.

Ya, saya akui UMNO bukan parti yang sempurna. Ada kelemahan dan kekurangannya.

Tapi saya percaya, UMNO tetap parti terbaik antara semua dalam membawa suara rakyat dan menjaga kestabilan negara.

Sejarah kejatuhan kerajaan UMNO lapan tahun lalu juga tak akan saya lupakan.

Peristiwa ini banyak mengajar kami tentang erti muhasabah diri, merendah diri dan menerima suara rakyat dengan hati terbuka.

Hari ini cabaran semakin berbeza.

Anak muda semakin kritikal dan rakyat semakin menilai.

Sebab itu UMNO perlu terus bergerak ke depan dengan idea, tenaga dan pendekatan baru tanpa melupakan akar perjuangan asal parti ini.

Ayuh anak muda, kita terus gilapkan parti keramat ini sebagai parti yang sentiasa mempertahankan Agama, Bangsa dan Malaysia tercinta.

ABDUL HAKIM ABDUL WAHID

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO