Ucapan Presiden Gariskan Hala Tuju Jelas Perkasa UMNO – Abdul Manan

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan menyokong penuh ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada konvensyen UMNO baru-baru ini yang disifatkannya sebagai hala tuju jelas untuk memperkukuh parti.

Menurut beliau, Presiden UMNO telah menggariskan tiga agenda utama yang menjadi teras kepada usaha memperkasakan UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa dan masa depan.

“Agenda pertama ialah ‘Rumah Bangsa’ yang perlu diperkukuhkan bagi memastikan kita kembali kepada asas perjuangan sebenar parti. Ini penting untuk menyatukan kekuatan akar umbi dan memperteguh jati diri UMNO sebagai wadah utama bangsa.

“Agenda kedua pula adalah ‘Musyawarah Nasional’ yang merupakan ikhtiar besar dalam membentuk semula kesepaduan dan kesatuan dalam kalangan ahli serta kepimpinan parti. Pendekatan ini menuntut keterbukaan, keikhlasan dan kesediaan untuk mendengar suara di setiap peringkat demi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kehendak rakyat.

“Manakala agenda ketiga ialah ‘Grand Collaboration’ secara menyeluruh, termasuk memperkasa struktur, meningkatkan keupayaan kepimpinan serta memantapkan gerak kerja di semua peringkat agar UMNO kekal relevan dan diyakini rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Abdul Manan, ketiga-tiga agenda tersebut bukan sahaja mencerminkan kesungguhan kepimpinan tertinggi parti, malah menjadi isyarat jelas bahawa UMNO sedang bergerak ke arah pembaharuan yang lebih tersusun dan inklusif.

Beliau turut menegaskan bahawa seluruh jentera parti di peringkat bahagian Semporna perlu menyahut seruan tersebut dengan komitmen tinggi serta kesatuan yang jitu.

“Ini bukan sekadar retorik, tetapi satu pelan tindakan yang perlu diterjemahkan secara kolektif. Kekuatan UMNO terletak pada kesepaduan ahlinya serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa tanpa mengabaikan prinsip asas perjuangan,” ujarnya.

Dalam masa sama Abdul Manan turut menzahirkan harapan agar menjelang ulang tahun UMNO ke-100, yang hanya 20 tahun akan datang, parti keramat itu terus kekal sebagai wadah utama dalam melahirkan generasi pewaris bangsa yang berjiwa besar dan sarat dengan semangat kemelayuan.

“Gagasan ‘Melayu UMNO 100 Tahun’ hanya tinggal 20 tahun mendatang bukan sekadar simbolik kepada usia perjuangan, sebaliknya membawa aspirasi besar untuk membentuk insan yang memiliki roh, jati diri serta kekuatan jiwa sebagai orang Melayu yang berpegang teguh kepada agama, bangsa dan negara.

“Yang lebih penting adalah bagaimana kita membina kualiti kepimpinan, akhlak dan pemikiran mereka inilah yang akan menentukan kekuatan UMNO dalam membina agama, memartabatkan bangsa dan memacu negara ke hadapan,” ujarnya lagi.

Abdul Manan percaya bahawa dengan komitmen berterusan seluruh ahli serta kepimpinan parti termasuk Presiden UMNO, mampu melangkah ke abad kedua dengan lebih gagah dan relevan sebagai tonggak perjuangan orang Melayu di negara ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO