Anjakan Baharu Dilaksana, UMNO Tak Boleh Bergantung Sejarah – Syahbuddin Hashim

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berpandangan tempoh dua dekad akan datang menuntut UMNO perlu melakukan anjakan besar bagi kekal relevan sebagai parti tunjang orang Melayu.

Menurutnya, landskap politik dan sosial yang semakin mencabar memerlukan UMNO keluar daripada zon selesa serta menampilkan pendekatan baharu yang lebih berpaksikan realiti rakyat.

Jelasnya, parti tidak boleh lagi bergantung kepada kekuatan sejarah semata-mata, sebaliknya perlu bangkit sebagai sebuah organisasi yang benar-benar memahami serta menyelesaikan permasalahan rakyat secara menyeluruh

“Dalam tempoh dua dekad mendatang, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada kekuatan sejarah semata-mata, sebaliknya perlu bangkit sebagai parti yang benar-benar memahami dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Dakwah mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang membantu kehidupan seharian seperti kos sara hidup, pekerjaan dan pendidikan, manakala kestabilan politik pula perlu dirasai melalui kepimpinan yang konsisten, berintegriti dan bebas daripada polemik dalaman.

“UMNO mesti melahirkan barisan pemimpin baharu yang berani, berilmu dan dekat dengan realiti generasi muda, di samping memainkan peranan menyatukan pemikiran Melayu dengan menawarkan hala tuju yang jelas dalam aspek ekonomi, pendidikan dan pemilikan masa depan, bukan sekadar bergantung kepada sentimen,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, pendekatan tersebut amat penting memandangkan rakyat hari ini semakin matang dan kritikal dalam menilai setiap tindakan serta hala tuju kepimpinan.

“Lebih penting budaya ilmu perlu diperkasakan agar setiap dasar dan keputusan berasaskan fakta serta data, kerana rakyat hari ini semakin matang dalam menilai,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, masa depan UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan tradisi semata-mata, sebaliknya perlu dibina atas keupayaan parti untuk menjadi penyelesai kepada permasalahan rakyat.

“Masa depan UMNO akan ditentukan oleh keupayaannya untuk menjawab satu persoalan utama iaitu adakah parti ini mampu menjadi penyelesai masalah rakyat dan pembina harapan negara.

“Jika jawapannya terbukti, UMNO bukan sahaja akan terus relevan, malah kembali memimpin dengan lebih kukuh dan diyakini,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa keupayaan memahami realiti semasa serta merangka penyelesaian yang praktikal dan berkesan akan menjadi kayu ukur utama dalam menentukan tahap keyakinan rakyat terhadap UMNO pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO