UMNO Larut Terus Santuni Rakyat, Ziarah Kasih Perkukuh Hubungan

LARUT, 5 Mei – Program Ziarah Kasih terus menjadi medium penting dalam mendekati masyarakat apabila Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohamad Daud, turun padang menyantuni penduduk di Kampung Changkat Larah, baru-baru ini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Kampung Changkat Larah bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian serta ketua-ketua komuniti setempat yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan kepimpinan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam suasana penuh mesra, rombongan berkesempatan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan.

Mohamad Daud menegaskan komitmen UMNO Bahagian Larut untuk terus mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang.

“UMNO Larut akan terus menyantuni segenap lapisan masyarakat. Kita tidak mahu hanya hadir ketika musim tertentu sahaja, sebaliknya komitmen kita adalah berterusan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pendekatan turun padang seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform untuk mendengar sendiri permasalahan serta keperluan penduduk setempat.

“Kita mahu menjadi jambatan antara rakyat dan penyelesaian. Setiap isu yang dibangkitkan akan kita teliti dan usahakan jalan penyelesaiannya bersama agensi berkaitan,” ujarnya lagi.

Program Ziarah Kasih ini adalah antara usaha berterusan UMNO Bahagian Larut dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan dan perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO