Langkawi Perlukan Dasar Jelas, Bukan Perbalahan Politik Dan Polemik Luar

ALOR SETAR, 5 Mei – UMNO Negeri Kedah menegaskan bahawa Langkawi tidak wajar dijadikan medan polemik politik persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan pelancong, sebaliknya memerlukan pendekatan kepimpinan yang fokus serta dasar yang jelas.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan yang menyentuh Langkawi perlu berasaskan realiti sebenar dan dibuat dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar naratif politik.

Menurut beliau, Langkawi sebagai tanah berdaulat di bawah naungan institusi diraja Kedah perlu dihormati, dan sebarang pandangan berkaitan masa depan pulau itu tidak boleh dipermainkan dengan pendekatan yang boleh menjejaskan imej negeri.

“Langkawi tidak perlukan polemik luar. Ia perlukan kepimpinan yang fokus, dasar yang jelas dan kerjasama semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan seorang pemimpin yang disifatkan tidak mencerminkan keadaan sebenar di Kedah, selain menyentuh sensitiviti berkaitan kedaulatan negeri dan institusi diraja.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan dan hala tuju pelancongan negeri ketika ini, namun menegaskan bahawa kerajaan negeri wajar dinilai secara adil dan bertanggungjawab terhadap prestasi semasa.

Tambah beliau, pandangan yang disuarakan oleh Akmal Saleh sebelum ini adalah berasaskan keutamaan dasar ekonomi dan sensitiviti masyarakat, bukannya serangan peribadi seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.

“Pendekatan menyerang secara peribadi tidak membantu menyelesaikan isu, malah hanya menguatkan persepsi yang boleh mengganggu usaha mempromosikan Langkawi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Menurut Shaiful Hazizy, polemik berterusan berisiko membuka ruang kepada manipulasi sentimen tanpa tanggungjawab, sekali gus menjejaskan usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO Kedah akan terus mempertahankan maruah negeri serta memastikan pembangunan Langkawi tidak dipengaruhi oleh naratif politik sempit yang tidak membawa penyelesaian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO