Keyakinan Rakyat Kembali, UMNO Bukti Kematangan Tadbir Negara – Yusla Ismail
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail menegaskan bahawa pengalaman panjang UMNO mentadbir negara menjadi asas kukuh kepada kebangkitan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, UMNO yang pernah mengurus negara lebih 60 tahun sememangnya memiliki rekod pentadbiran yang terbukti, meskipun pernah mengalami peristiwa kekalahan.
“Pengalaman UMNO mengurus negara lebih enam dekad bukan sesuatu yang kecil. Walaupun kita pernah kecundang sekejap, dengan hikmah dan kebijaksanaan Presiden UMNO, kepercayaan rakyat berjaya dikembalikan.
“UMNO cukup matang dalam mentadbir negara. Pengalaman lebih 60 tahun itu menjadikan kita sebuah parti yang hebat. Kita yakin menteri-menteri UMNO dalam Kabinet sentiasa bekerja dan menunjukkan ‘performance’ yang terbaik.
“Sekarang adalah masa untuk membina. Rakyat telah memberi kepercayaan dan kembali kepada UMNO untuk terus mentadbir negara,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau berkata keyakinan rakyat terhadap UMNO turut terbukti melalui kejayaan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kestabilan politik yang wujud telah berjaya menarik kemasukan pelaburan asing secara signifikan.
“Rakyat sangat yakin dengan UMNO dan ini dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin Menteri Besar. Negeri ini berada dalam keadaan stabil dari segi politik dan berjaya menarik pelaburan, termasuk ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) mencecah RM110 bilion.
“Jumlah ini sangat tinggi dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita percaya apabila politik stabil, ekonomi akan terus berkembang dengan lebih baik,” jelasnya.
Dalam masa yang sama Yusla melihat perkembangan keahlian UMNO ketika ini berada pada tahap yang sangat memberangsangkan, khususnya dengan penyertaan baharu yang semakin meningkat.
“Kita lihat keahlian UMNO sangat memberangsangkan kerana lebih 11 ribu (dalam tempoh lima hari) yang menyertai UMNO. ‘Trend’ tersebut jelas menunjukkan kebangkitan semula keyakinan rakyat, terutamanya dalam kalangan generasi muda terhadap parti itu.
“Kepercayaan anak muda terus bertaut kembali kepada UMNO dan diyakini akan terus mengukuh dari semasa ke semasa, sekali gus mencerminkan kebangkitan semula keyakinan generasi muda terhadap perjuangan parti itu,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan penerimaan semula rakyat terhadap UMNO, malah memperlihatkan bahawa parti itu masih relevan dan diyakini sebagai wadah perjuangan bangsa dan negara. – UMNO Online
