Pemuda UMNO Negeri Sembilan Sangkal Tuduhan Derhaka, Dakwa Cuba Pesong Isu

SEREMBAN, 4 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menegaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Megat D Shahriman adalah tidak berasas, bersifat serangan peribadi serta cuba memesongkan perhatian rakyat daripada isu sebenar melibatkan pentadbiran negeri.

Dalam satu kenyataan, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menekankan bahawa kritikan terhadap Menteri Besar tidak boleh disalah tafsir sebagai tindakan derhaka kepada institusi diraja.

“Menegur kelemahan dan kesilapan seorang Menteri Besar tidak boleh disamakan dengan derhaka kepada Institusi Diraja, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada perjuangan parti dan perjanjian dalam Kerajaan Perpaduan,” menurut kenyataan itu.

Menurut mereka, label “derhaka” yang dilemparkan terhadap UMNO merupakan satu bentuk manipulasi politik yang mengelirukan rakyat serta menjejaskan fokus terhadap isu sebenar yang sedang dihadapi negeri.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut menolak dakwaan bahawa parti itu mengheret Institusi Diraja ke dalam kancah politik, sebaliknya menegaskan komitmen berterusan mereka dalam mempertahankan adat dan kedaulatan negeri.

“UMNO kekal konsisten mempertahankan Institusi Diraja, Adat Perpatih serta kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, mereka menegaskan bahawa isu sebenar yang dibangkitkan adalah berkaitan tindakan Menteri Besar yang didakwa menimbulkan persepsi negatif akibat kelemahan pengurusan serta ketidakpatuhan terhadap sensitiviti struktur negeri.

“Fokus sebenar ialah kepincangan, kegagalan dan kerosakan dalam pentadbiran yang perlu diberi perhatian serius, bukannya dialihkan dengan naratif politik menyalahkan pihak lain,” katanya lagi.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan juga menegaskan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk tekanan atau ugutan politik yang bertujuan untuk menutup suara mereka.

“Kebenaran tidak boleh disembunyikan dengan ancaman atau ugutan politik,” tegas kenyataan itu.

Pada masa sama, mereka menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“UMNO Negeri Sembilan tidak pernah, tidak sedang dan tidak akan menyokong sebarang usaha tidak berperlembagaan untuk menggugat kedudukan DYMM Tuanku,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebarang dakwaan kononnya UMNO terlibat dalam konspirasi penderhakaan disifatkan sebagai
fitnah serius yang perlu dibuktikan kepada pihak berkuasa.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan hanyalah berkaitan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar dalam mengurus krisis adat dan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, mereka menggesa agar perkara berkenaan diselesaikan melalui saluran sah termasuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, proses Dewan Undangan Negeri serta lunas perlembagaan negeri.

“UMNO Negeri Sembilan kekal teguh sebagai suara rakyat, benteng semak dan imbang, serta pembela Institusi Diraja dan Adat Perpatih,” menurut kenyataan itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO