MARA Pemangkin Masa Depan Bumiputera – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memainkan peranan penting sebagai jambatan peluang dalam membina masa depan bangsa, khususnya dalam memperkasa masyarakat Bumiputera.

Beliau berkata, MARA bukan sekadar sebuah institusi, sebaliknya menjadi simbol harapan kepada anak desa untuk mengubah kehidupan, mengangkat martabat keluarga serta melahirkan usahawan berjaya melalui bimbingan yang berterusan.

“Ini adalah amanah besar yang kita pikul bagi memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya susulan ucapan beliau pada Majlis Malam Gala Persada MARA, malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, MARA kini telah berkembang sebagai sebuah ekosistem pembangunan menyeluruh yang merangkumi bidang pendidikan, kemahiran, keusahawanan serta pelaburan strategik.

Tambahnya, kejayaan institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta pencapaian kebolehpasaran tinggi graduan TVET MARA yang mencecah 98 peratus membuktikan pendekatan dilaksanakan mampu melahirkan generasi berilmu, seimbang dan berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hala tuju MARA perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menyediakan peluang kepada usaha membina penguasaan dalam kalangan Bumiputera.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja menjadi penerima manfaat, tetapi juga pencipta peluang serta pemimpin masa depan negara,” ujarnya.

Pada majlis sama, Shamsul Azri Abu Bakar, yang juga alumni MARA, telah menerima Anugerah Legasi Ikon Alumni MARA sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau.

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Persada MARA dan menegaskan bahawa perjalanan pembangunan MARA yang kini menjangkau enam dekad merupakan asas kukuh untuk melangkah lebih jauh pada masa hadapan.

“Perjalanan ini masih belum selesai. Enam dekad adalah asas, dan masa depan adalah medan untuk kita melangkah lebih jauh. Teruskanlah menjunjung amanah rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO