Ahmad Zahid Hargai Pengorbanan, Selamat Hari Bomba Sedunia
PUTRAJAYA, 4 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas jasa, keberanian serta pengorbanan mereka dalam melindungi nyawa dan harta benda rakyat.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, setiap detik kecemasan menuntut keberanian luar biasa, dan anggota bomba sentiasa menjadi barisan hadapan yang tidak pernah mengelak daripada risiko demi keselamatan orang awam.

“Dalam saat genting itulah, anggota bomba tampil ke hadapan tanpa ragu, menggalas tanggungjawab demi melindungi nyawa dan harta benda rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Hari Bomba Sedunia hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih atas komitmen, disiplin dan pengorbanan warga JBPM yang disifatkan tidak mengenal batas waktu dalam melaksanakan tugas.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar semua anggota bomba terus diberikan kekuatan, perlindungan serta kecekalan dalam menjalankan amanah besar yang dipikul.
“Saya mendoakan semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan, perlindungan dan kecekalan dalam melaksanakan amanah yang cukup besar ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online
