UMNO Terima Lebih 13,900 Ahli Baharu, Anak Muda Dominasi Penyertaan – SUA

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sambutan terhadap pendaftaran keahlian baharu parti amat menggalakkan sejak ia dibuka secara dalam talian.

Menurut beliau, ini kerana sehingga ke hari ini jumlah keahlian baharu yang direkodkan mencecah 13,954 orang.

“Sukacita saya kongsikan bahawa sejak pembukaan pendaftaran dalam talian pada 20 April lalu hingga jam 8 pagi tadi, jumlah keahlian baharu yang direkodkan mencecah 13,954 orang.

“Pergerakan Pemuda mencatatkan keahlian teramai iaitu sebanyak 8,233, diikuti Pergerakan Puteri iaitu 1,260 dan Wanita UMNO 1,240. Manakala negeri yang teramai memperoleh keahlian baharu Johor, Pahang dan Perak. Jumlah ini meningkat dari masa ke semasa.

“Ini menunjukkan apa yang dihasratkan oleh Presiden apabila membentangkan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tidak menyusahkan anak muda untuk menyertai UMNO dengan memudahkan mereka mengisi borang keahlian.

“Atas kuasa MKT mengiktiraf sebagai ahli penuh setaraf dengan ahli lain, bukan sekadar ahli bersekutu. Inilah ‘game changer’ yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Presiden, yang amat memahami naluri anak-anak muda.

“Semalam turut menyaksikan sesuatu yang luar biasa. Walaupun kaunter pendaftaran keahlian baharu dibuka pada jam 10 pagi, seawal 8.30 pagi lagi orang ramai sudah beratur panjang untuk mendapatkan kad keahlian edisi khas secara percuma,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata sambutan ini bukan sekadar bersifat kosmetik sebaliknya membawa makna yang besar kepada seluruh perjuangan kita serta merangka dan menetapkan hala tuju bagi dekad mendatang.

Katanya lagi, perjuangan UMNO bukanlah satu perjalanan yang mudah, berdepan pelbagai cabaran dan rintangan demi memastikan kelangsungan perjuangan parti terus relevan.

“UMNO adalah sebuah perjuangan. Jalannya mungkin sukar dan mencabar tetapi percayalah parti ini adalah parti keramat.

“Niat kita jelas perjuangan adalah untuk memelihara agama, memartabatkan bangsa serta memastikan negara kita yang berbilang kaum terus kekal makmur dan berdaulat, dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO