UMNO Sabah Tegaskan Komitmen Perjuangan, Fokus Kestabilan Masa Depan Negeri
KUALA LUMPUR, 2 Mei – UMNO Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh perjuangan parti di negeri itu dengan menekankan kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta pembinaan generasi masa depan sebagai teras utama gerak kerja.
Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, amanah memimpin parti di negeri itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya tanggungjawab besar untuk memastikan UMNO terus relevan dan berfungsi sebagai wadah perjuangan rakyat Sabah.

Menurut beliau, UMNO Sabah akan terus bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh dengan sokongan 25 bahagian di seluruh negeri bagi memastikan suara rakyat Sabah kekal dibawa ke peringkat nasional.
“Ini bukan satu kebanggaan peribadi, tetapi satu amanah besar untuk meneruskan legasi perjuangan, menjaga maruah parti dan melakukan yang terbaik untuk UMNO Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen UMNO sempena ulang tahun ke-80 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mengulas cabaran politik semasa, Jafry menegaskan UMNO Sabah tidak akan berundur walau berdepan pelbagai tekanan, sebaliknya akan terus memperkukuh kedudukan parti melalui kesatuan dan disiplin.
“Tiada istilah kami berundur. Perjuangan UMNO akan terus tersemai walau apa jua cabaran yang datang,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa perjuangan politik memerlukan kepimpinan berpengalaman serta kefahaman mendalam terhadap realiti semasa, bukan sekadar retorik.

Beliau turut mengimbau sejarah dengan menjelaskan kemasukan UMNO ke Sabah pada tahun 1991 merupakan titik penting dalam memperkukuh pembangunan negeri melalui hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sejak itu UMNO menjadi antara komponen penting dalam landskap politik Sabah serta memainkan peranan dalam membawa agenda pembangunan yang lebih tersusun.
“UMNO datang ke Sabah dengan tanggungjawab besar untuk memastikan negeri ini bergerak seiring dalam arus pembangunan nasional,” katanya.
Dalam konteks nasional, Jafry turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden UMNO, yang disifatkan sebagai berani membuat keputusan demi kestabilan negara.
Menurutnya, langkah kepimpinan pusat dalam mendepani cabaran politik semasa perlu dilihat sebagai usaha memastikan negara kekal stabil dan rakyat tidak terkesan dengan ketidaktentuan.
“Dalam saat negara memerlukan kestabilan, kepimpinan yang berani dan matang amat penting bagi memastikan hala tuju negara tidak terjejas,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah memerlukan suara yang kuat di peringkat Persekutuan, justeru hubungan erat antara negeri dan pusat perlu terus diperkasakan.
Jafry menekankan bahawa isu ekonomi dan kos sara hidup merupakan antara keutamaan utama yang perlu diberi perhatian oleh UMNO Sabah.
Katanya, rakyat kini menilai parti bukan hanya berdasarkan sejarah, tetapi keupayaan menyelesaikan masalah harian.
“Ekonomi bukan sekadar angka, tetapi soal maruah hidup, peluang pekerjaan dan masa depan generasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar UMNO tampil dengan pendekatan baharu yang lebih realistik, adil dan menyentuh keperluan rakyat.
Dalam usaha memperkukuh masa depan parti, beliau menegaskan keperluan mendekati golongan muda dengan pendekatan yang lebih relevan dan jujur.
Menurutnya, generasi muda mahukan keikhlasan, peluang serta sistem yang adil, dan UMNO perlu menyesuaikan pendekatan bagi memenuhi harapan tersebut.
“Kalau UMNO mahu kekal kuat, kita mesti bercakap dalam bahasa harapan dan tindakan yang difahami generasi muda,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masa depan UMNO bergantung kepada kekuatan dalaman, integriti serta kesungguhan untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Kita tidak akan mengundur. Kita akan terus memperkukuh perjuangan demi rakyat dan masa depan Malaysia,” tegasnya. – UMNO Online
