Ulang Tahun UMNO Ke-80 Harus Jadi Medan Audit Roh Perjuangan
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ulang tahun UMNO ke-80 harus menjadi medan untuk mengaudit roh perjuangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berpandangan UMNO adalah sebuah gerakan yang mempertahankan tanah air, kedaulatan raja-raja dan hak Melayu.

“UMNO tidak menentang Malayan Union semata-mata, tetapi menukar penentangan itu menjadi asas pembinaan negara melalui Persekutuan Tanah Melayu.
“Kekuatan itu diteruskan apabila Perikatan menang besar 51 daripada 52 kerusi, membuktikan kemampuan UMNO menukar semangat rakyat menjadi sebuah sistem pemerintahan yang stabil.
“Selepas merdeka, UMNO menjadi paksi pemerintahan dan pembangunan, selain mengangkat taraf hidup rakyat dan memodenkan negara. MARA, FELDA, FELCRA dan RISDA menjadi bukti bahawa UMNO telah membina infrastruktur sosial dan ekonomi yang membuka mobiliti kepada anak bangsa,” katanya.
Berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini, menurutnya, sejarah telah membuktikan UMNO telah berhadapan dengan pelbagai ujian yang akhirnya mematangkan parti ini.
“Namun sejarah UMNO juga membuktikan parti besar tidak pernah kebal daripada ujian. UMNO telah berhadapan dengan ujian kepimpinan, realiti politik dan peralihan sokongan rakyat dalam krisis 1987, 1998 hinggalah ke Pilihan Raya Umum (PRU) 2008,” katanya.
Tambahnya, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi pengakuan bahawa defisit kepercayaan rakyat tidak boleh dipulihkan hanya dengan laungan slogan dan pujukan kesetiaan semata-mata.

“Pada 2018, UMNO/Barisan Nasional (BN) menerima peringatan paling keras bahawa jasa dan sejarah panjang tidak cukup untuk mengekalkan sokongan dan keyakinan rakyat. Kita telah kalah. Kekalahan itu menjadi pengakuan bahawa defisit kepercayaan tidak boleh dipulihkan hanya dengan laungan slogan dan pujukan kesetiaan semata-mata.
“Maka sejarah UMNO wajar dibaca sebagai cerminan perjuangan bangsa. Ulang tahun UMNO ke-80 haruslah menjadi medan audit roh perjuangan, agar parti ini terus memiliki jiwa perjuangan yang asal seiring dengan gagasan Rumah Bangsa yang menyatukan kita pada hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online
