Rumah Bangsa Disulami Pengorbanan Perasaan Presiden Demi Kejayaan UMNO – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob melihat ilham Rumah Bangsa oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disulami pengorbanan perasaan.
Menurut beliau tidak pernah terbayang sebelum ini, pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Presiden UMNO tersebut, namun hari ini menerusi Rumah Bangsa, Datuk Seri Ahmad Zahid sanggup mengenepikan segala kata-kata berkenaan demi melihat kejayaan sebuah perjuangan dulu, kini dan selamanya.

“Rumah bangsa ini adalah antara ikhtiar yang amat berhormat Presiden ke arah usaha kita kembali mencari kejayaan. Apabila setiap kali kita bersidang di Dewan Merdeka rumah UMNO ini, antara perkataan yang kita sebut adalah perjuangan. Laungan demi laungan. Kita bercakap soal bangsa. Kita bercakap soal maruah. Kita bercakap soal tanah air. Dan sudah tentu semua ini memerlukan pengorbanan.
“Kita boleh berkorban masa. Kita boleh menggunakan masa pada petang ini dan pagi tadi barangkali dengan aktiviti perkara lain. Kita boleh berkorban tenaga. Bukan sahaja hari ini demi parti ini, kita sentiasa berkorban masa dan tenaga. Kita datang ke sini tidak pun dibayar. Kita berkorban wang ringgit. Kita sedikit pun tidak mengeluh apabila masa, tenaga, wang ringgit yang kita korbankan.
“Namun saya tak tahu idea Rumah Bangsa ini disulami dengan pengorbanan perasaan oleh yang amat berhormat Datuk Seri Presiden. Datuk Seri Presiden…saya faham bukan saja diinjak-injak, ditikam kiri dan kanan, belakang dan depan. Tetapi beliau sanggup mengorbankan perasaan demi melihat kejayaan UMNO untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kalau pun pengorbanan yang kita korbankan, barangkali tidak sebesar pengorbanan yang Presiden buat,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Konvensyen 80 Tahun Perjuangan UMNO, di Dewan Merdeka WTC, di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan turut menyentuh perjuangan UMNO Kelantan yang tidak mengenal erti penat dan lelah.
“Perjuangan kita di Kelantan tidak mengenal erti penat lelah. Jauh sekali berputus asa. Walaupun satu ketika pada tahun 2004, kita hanya kekurangan satu kerusi untuk memerintah negeri Kelantan. Apapun nasib masih tidak menyebelahi kita.
“Pada pilihan raya negeri yang lepas, kita hanya berjaya untuk mendapatkan satu kerusi. Pilihan ini adalah antara peristiwa terpenting yang berlaku di dalam sistem demokrasi kecil di Kelantan yang akan memperlihatkan kemungkinan kebangkitan kita di Kelantan. Tetapi kami sedar perjalanan kami amat sukar dan jauh,” tambahnya.
Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir pada sesi ucapan yang sama menyifatkan kebangkita semula parti itu selepas tewas di peringkat kerajaan pusat pada 2018 yang lalu adalah kerana ahli di semua peringkat yang memainkan peranan masing-masing.
“Kita bangkit semula bukan kerana pemimpin di atas, tapi kerana wira-wira di bawah ini, mereka-mereka di luar sana yang bekerja keras, tidak ada jawatan, tak ada apa-apa pun tapi kita akan terus berjuang untuk membaikkan UMNO ini. Inilah dia wira-wira yang ada pada hari ini.
“Sama-sama kita berikan semangat dan perangsang kepada Datuk Seri Presiden yang terus berjuang walaupun beliau ditekan, diseksa, dihina pada itu, tapi beliau terus bersemangat kerana ada wira-wira di bawah ini bersama-sama dan barisan kepimpinan lain,” tambahnya.- UMNO Online
