Pelaksanaan Resolusi Pendidikan Bumiputera Perlukan Kesungguhan, Keberanian Dan Kejujuran Politik
KUALA LUMPUR, 2 Mei — Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr Puad Zarkashi menegaskan bahawa cabaran utama hasil dapatan kongres tersebut adalah memastikan setiap resolusi yang dibentangkan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan agenda pendidikan Bumiputera sebelum ini seperti penubuhan institusi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) membuktikan bahawa komitmen politik memainkan peranan penting.
“Resolusi yang dibentangkan dalam empat sesi utama hari ini menuntut pelaksanaan yang bukan sahaja memerlukan kesungguhan politik, tetapi juga keberanian dan kejujuran politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pendidikan Bumiputera yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Puad, pelaksanaan agenda Bumiputera tidak semestinya bergantung kepada dominasi politik semata-mata, sebaliknya boleh direalisasikan melalui komitmen yang konsisten walaupun dalam landskap perkongsian kuasa.
“Selagi ada kesungguhan, keberanian dan kejujuran politik, resolusi yang diputuskan hari ini tetap boleh dijayakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kongres tersebut turut mencadangkan penubuhan sekretariat tetap bagi memantau pelaksanaan resolusi pendidikan Bumiputera.
Katanya, sekretariat berkenaan dicadangkan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan melaporkan perkembangan kepada Majlis Pendidikan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Pendekatan ini diharap dapat memastikan setiap resolusi bukan sekadar wacana, tetapi benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya. – UMNO Online
