‘Nostalgia Sudah Tidak Boleh Lagi Dijadikan Barang Dagangan’ – Johari

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan bahawa nostalgia tidak boleh lagi dijadikan sebagai barang dagangan untuk menggamit sokongan rakyat.

Ini kerana katanya, pengundi Melayu kini mempunyai banyak pilihan selain mempunyai cita rasa yang berbagai ketika musim pilihan raya.

“Kita pernah berada pada zaman kegemilangan yang begitu panjang. Kita pernah juga merasa peritnya kejatuhan. Sudah tentu kita berada dalam zaman sedang membina semula parti untuk bangkit.

“Sebelum bangkit kita perlu mempunyai kesedaran. Antara kesedaran yang perlu ada ialah kita hanya tinggal 26 kerusi. Kita juga kena sedar bahawa kita bukan lagi menerajui kerajaan.

“Selain itu, pengundi Melayu ada banyak pilihan parti pada ketika ini dan mempunyai cita rasa pelbagai. Imej dan integriti parti juga masih belum pulih ditambah pula dengan landskap politik yang berubah begitu drastik.

“Kita kena cari jalan penyelesaian bagaimana untuk bangkit. Nak bangkit kalau ikut sejarah negara mana-mana dalam dunia, bukan mudah. Apabila kita biasa berkuasa, nak bangkit agak sukar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, UMNO telah melalui tiga fasa sepanjang 80 tahun kewujudannya.

“Nostalgia sudah tidak lagi boleh dijadikan barang dagangan. 80 tahun sebagai parti lama ada tiga fasa. Pertama, fasa kejayaan memerdekakan negara selama sebelas tahun. Fasa kegemilangan UMNO ialah berjaya menang Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak sebelas kali berturut-turut, dua pertiga majoriti. Selepas itu, kita menang ‘simple’ majoriti dalam sepuluh tahun, dua kali PRU.

“Fasa ketiga kita belum kalah sepenuhnya. Selepas 61 tahun memerintah, pertama kali kita mula berkongsi kuasa. Dua kali PRU kita duduk dalam kerajaan berkongsi kuasa … dalam kedudukan hanya tolong orang lain mendapatkan kuasa.

“Fasa pertama cukup dahsyat. Fasa kedua, selama 61 tahun kita memerintah negara secara solo. Fasa ketiga, masih ada kuasa tapi bukan kita yang menerajui sepenuhnya,” katanya lagi.

Ujarnya, terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan perubahan drastik tersebut berlaku sehinggakan UMNO tidak dapat memerintah secara total.

“Pertama, negara kita ini sudah bertambah kompetitif dari segi politik. Kita mempunyai ‘stronger opposition’. Kedua, mereka ini lahir selepas kita dan mereka bertambah kuat setiap kali selepas PRU secara berpasukan. Mereka tidak pernah merasai memerintah secara ‘absolute’ sebagai parti berseorangan seperti kita.

“Pengundi-pengundi juga lebih kritikal dan lebih berpengetahuan dari banyak aspek apabila mereka hidup dalam zaman teknologi iaitu media sosial,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa UMNO perlu menyusun strategi dengan lebih berkesan untuk menjadi peneraju kerajaan semula.

“Kita sebenarnya perlukan pasukan. Kita mesti mempunyai pengurus yang cekap, selain jurulatih dan pemain yang hebat. Selain itu kita kena ada pemain ‘reserve’. Apabila dah ada ‘player’ ini, kita kena pandai mengatur strategi. Sebenarnya kebolehan dalam pasukan ini berbeza.

“Kalau kita boleh meyusun strategi dan bekerjasama dalam kerajaan ini, Insya-Allah satu hari nanti apabila kita lebih ‘tinggi’ daripada mereka, mungkin mereka kena bekerja dengan kita. Ini kerana dalam negara ini tidak ada parti lagi yang boleh menang secara mutlak,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO