Difitnah, Ditohmah Dari Pelbagai Sudut… UMNO Perak Buktikan Dengan Hasil Kejayaan Mentadbir

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun pelbagai fitnah, persepsi dan hinaan dilemparkan kepada UMNO sepanjang tiga tahun lima bulan usia Kerajaan Perpaduan, trek rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawahnya membuktikan segala tohmahan tidak benar sama sekali.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, keberadaan UMNO dalam kerajaan tidak pernah sedikit pun melunturkan jati diri perjuangan, tidak pernah mengikut telunjuk sesiapa, malah teguh berpegang kepada prinsip yang tidak akan sesekali dikhianati dan tidak pernah melawan fitnah dengan kata nista, tetapi menjawab melalui tindakan dan hasil.

“Tanpa mahu mendabik dada atau dibuai riak, UMNO Perak telah membuktikan kemampuan menggalas amanah dalam memimpin kestabilan dan pembangunan negeri. Mewarisi kerajaan yang dihambat dengan defisit RM78 juta pada tahun 2020, kita memimpin kerajaan negeri untuk bangkit dengan surplus empat tahun berturut-turut.

“Walaupun negeri hampir luluh akibat krisis COVID-19, kita bangkit dengan tekad dan disiplin memulihkan kekuatan fiskal sehingga Perak bukan sahaja kembali stabil, malah mencatatkan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.

“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, Perak mempersembahkan belanjawan terbesar dalam sejarah untuk dua tahun berturut-turut, untuk dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk inisiatif dan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Jelas Saarani lagi, UMNO juga menepis segala tohmahan kononnya Islam dipinggirkan kerana hakikatnya syiar Islam bukan sahaja terus subur di Perak, malah peruntukan untuk agama Islam terus ditambah setiap tahun.

Begitu juga tambah Saarani, demi masa hadapan anak muda Perak, kerajaan negeri membangunkan projek berimpak tinggi menerusi pelan Perak Sejahtera 2030.

“Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Halal Industrial Park di Lekir, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian.

“Perak Koridor TVET Negara menjadi antara agenda utama negeri, selari dengan gagasan Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, bagi memperkasa TVET sebagai pemacu kebolehpasaran dan masa depan anak muda,” katanya.

Semua ini ujarnya bukti menunjukkan apabila UMNO diberi amanah, ia bukan hanya mampu mentadbir tetapi diiringi dengan tertib, disiplin dan dengan hasil yang boleh diukur.

Selain itu dalam ucapannya, Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong berkata UMNO di semua peringkat sama ada pimpinan negeri, bahagian, cawangan hinggalah ke akar umbi perlu menyerlahkan semula citra dan peranan sebenar parti.

“Kita mesti menghidupkan kembali tradisi UMNO yang sentiasa mendahului rakyat, yang tidak hanya hadir ketika senang, tetapi tampil ketika rakyat berdepan kesukaran. Inilah waktunya Pemuda UMNO tampil sebagai suara yang berani, menyuarakan keresahan rakyat, menegur dengan tanggungjawab, dan memastikan isu-isu anak muda tidak dibisukan.

“Inilah waktunya Wanita UMNO memperkukuhkan peranannya di lapangan, menyelami denyut nadi keluarga, memahami tekanan yang dihadapi isi rumah, dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada insan-insan memerlukan.

“Dan inilah waktunya Puteri UMNO memainkan peranan yang lebih segar, mendampingi generasi muda dengan pendekatan lebih terbuka, lebih memahami, dan lebih selari dengan perubahan zaman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.

Justeru itu katanya, jika setiap peringkat UMNO bangkit memainkan peranan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab, maka UMNO tidak akan hanya dikenang sebagai parti yang pernah berjasa, tetapi akan terus dirasai sebagai parti yang setia berkhidmat, teguh berjuang dan menjadi tempat untuk rakyat mengadu nasib dan bergantung harap. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO