Catatan UMNO 80 Tahun
BERADA di dalam Dewan Merdeka WTCKL, pada pagi Sabtu 2 Mei 2026, sambutan 80 Tahun UMNO. Apa yang ingin ditulis kali ini adalah dari lubuk hati yang paling dalam untuk dicurahkan kepada semua yang berminat untuk membacanya.
Pertama, sepatutnya ada seorang tokoh perjuangan UMNO di dewan ini, namun beliau merengkok dizalimi dalam jeriji besi penjara atas tuduhan politik, iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Panjang lebar boleh diceritakan tentang tuduhan politik itu, namun bersama kita mendoakan kesejahteraan dan kebebasan beliau. Ramai pimpinan yang dizalimi atas tuduhan politik yang jahat ini termasuk Presiden dan diri aku juga.

Kedua, jasa UMNO sering dilupakan walau ada tanda jalur jasa itu di setiap desa, kampung, taman, pekan, kota dan bandar raya di seluruh pelusok negara. Apa tidaknya, 10 orang Perdana Menteri dan majoriti anggota kabinetnya yang menerajui kementerian sejak Merdeka adalah pimpinan UMNO atau mereka yang ada DNA UMNO. Tahun 1957 hingga 2018 (61 tahun) adalah tempoh pemerintahan yang majoriti pimpinan utamanya adalah UMNO dan BN dengan pelbagai cadangan, dasar dan jasa pembangunan.
Ketiga, orang macam aku, anak penoreh getah yang miskin, hanya ketika berumur 30 tahun baru ada letrik, air, jalan raya dan telefon di kampung, jika tidak kerana jasa UMNO, rasanya aku tidak akan ke mana. Aku dapat ke sekolah berasrama penuh, dapat bantuan ke luar negara, ke 2 universiti dalam negara dan diberi jawatan yang baik setelah menang pilihan raya, kerana jasa UMNO dan BN. Aku, isteri dan ramai lagi generasi DEB, Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai dasar yang lain tidak akan melupakan jasa besar ini.
Keempat, orang muda diberi tempat dalam UMNO dengan aktifnya Pemuda dan Puteri, UMNO Siswa, Kelab UMNO Luar Negara, Sekolah Patriotik, ahli secara on-line antara usaha berterusan untuk membina pemimpin generasi pelapis. UMNO ada masa depan yang cerah kerana anak muda UMNO berada di puluhan ribu cawangan di seluruh negara, bermesyuarat dan memberi pelbagai cadangan untuk rakyat di desa, kota dan negara.

Kelima, lebih 3 juta ahli UMNO kini berada dalam sektor awam, swasta, NGOs, profesional, usahawan, berjawatan kecil, sederhana dan besar. Mereka menggerakkan negara ini dalam pelbagai sudut di seluruh alam maya Malaysia ini. Ada yang dengan jelas menyatakan diri, aku ahli UMNO; ada yang berdiam diri kerana tawaduk atas kekalahan sementara, tetapi dalam diam dengan gigih berusaha untuk bangkit kembali.
Keenam, UMNO mempunyai ideologi politik yang mantap iaitu perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air demi ABATA. Tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan UMNO, perjuangan Islam, hak istimewa Bumiputera, kedudukan Raja, bahasa dan budaya Melayu yang menjadi tonggak. Pada ketika yang sama, seperti dalam senikata lagu “UMNO terus mara, Untuk rakyat Malaysia”, bahawa kita berjuang untuk semua kaum di negara tercinta ini.
Ketujuh, aku harap masyarakat Cina dan India akan kembali menyokong perjuangan UMNO dan BN. Dalam senarai Top 50 Malaysian Billionaires dikeluarkan oleh Forbes sejak sekian lama, untuk 2026 ada 43 Cina, 3 Melayu, 3 India dan 1 Siam. Mengapa 22.2% penduduk Cina boleh kaya raya dalam negara yang ada 70.5% Bumiputera? Tentu antara lain kerana keadilan pemerintahan UMNO BN yang memberi peluang kepada mereka untuk menjadi peniaga. Jika kita ingin kaya, jadilah seperti mereka, maka berusahalah untuk menjadi Bangsa Usahawan dan bukan bangsa makan gaji.
Kelapan, di bawah pimpinan YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini UMNO ada gagasan Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung. Kita bangkit sedikit demi sedikit dengan memenangi PRK Tioman, Pelangai, Nenggiri, Mahkota, Ayer Kuning, Kinabatangan dan Lamag. Aku harap, kita bukan hanya menang di PRK tapi menang juga di PRN Johor, Melaka dan medan besar PRU-16 nanti.

Kesembilan, kali pertama aku berucap di Dewan Merdeka ini ialah pada tahun 1989 (37 tahun lalu) mewakil Kelab UMNO Luar Negara. Setelah waktu berlalu, aku di sini pernah diamanahkan oleh 2 orang YAB Presiden sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Setiausaha Agung UMNO. Aku berdoa agar bila satu ketika aku mati, masih aku ahli UMNO. Aku berdoa juga agar Allah memberkati perjuangan UMNO demi ABATA, Agama, Bangsa dan Tanah Air. Aku berdoa agar UMNO akan terus bangkit dan menang kembali.
Pantun nukilan sendiri:
Pimpinan mahir, lagi tersohor,
Bersamping songket, berkeris lama;
UMNO lahir, di Istana Johor,
Ayuh bangkit, menang bersama.
Bandar Pontian, ada hikayat,
Kisah bersemi, cerita bersama;
UMNO berjuang, demi rakyat,
Dulu kini, dan selama-lama.

DS Dr Ahmad bin Maslan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
