Berada Di Titik Terendah, UMNO Terengganu Mahu Bangkit Cipta Kejayaaan
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata UMNO negeri kini berada di titik terendah apabila gagal mempertahankan satu kerusi di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Walaupun begitu ujarnya, UMNO negeri bertekad bangkit mencipta kejayaan dan seterusnya kembali menjadi kerajaan sebagaimana dahulu yang banyak menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Kita kalah bukan sebab tak buat kerja. Kita kalah sebab tak pandai ‘jual’ kerja. Orang lain buat satu… cerita sepuluh. Kita buat sepuluh.. diam macam tak buat apa-apa. Akhirnya rakyat tanya: “UMNO ni buat apa sebenarnya?” Ini bukan sindiran… ini cermin untuk kita.
“Cukup-cukuplah mencari dan mencipta alasan. Kita faham iklim politik boleh berubah bila-bila masa. Bukan salah pengundi, bukan juga salah situasi semasa. Ini kegagalan kita kerana tidak bijak menyesuaikan diri dalam iklim politik semasa.
“Kita perlu belajar membaca cuaca. Jangan tengkujuh tiba baru kita sibuk nak menampal perahu yang bocor. Banyak perkara kita perlu perhalusi agar naratif politik ini dikawal dan disesuaikan secara bijaksana,” katanya ketika berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ujarnya lagi, prestasi Kerajaan Negeri Terengganu yang mendapat royalti minyak pada hari ini jauh ketinggalan berbanding negeri jiran, Pahang.
“Realiti di Terengganu hari ini peluang ekonomi masih terhad, idea baharu kurang kedengaran, rakyat masih bergelut dengan kos hidup, peluang pekerjaan terbatas dan kecaknaan kebajikan berkurang.
“Negeri Pahang sebagai jiran Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO telah menjana kenaikan hasil negeri melebihi satu bilion selama empat tahun berturut-turut.
“Sedangkan kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan pihak sana tidak mampu pun mencapai pendapatan 500 juta setiap tahun,” tegasnya lagi.
Begitu juga Rozli turut mengulas perbezaan antara kerajaan negeri dahulu di bawah UMNO dan sekarang di bawah Pas walaupun mereka menerima dana petroleum yang lebih banyak.

“Dulu ketika kita mentadbir, kita berikan pelbagai dana untuk kebajikan rakyat seperti Dana Raya, Dana Pendidikan, bantuan pesakit kronik dan pelbagai program kebajikan.
“Pada tahun 1999 hingga 2004, Kerajaan Persekutuan telah mengagihkan dana petroleum yang dikenali sebagai wang ehsan melalui agensi persekutuan. Ketika itu rakyat Terengganu mendapat pelbagai laba kebajikan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan.
“Segala bantuan ini diteruskan sehingga tahun 2018 tetapi tidak diteruskan apabila Pas memerintah. Sedangkan kerajaan Pas sekarang menerima lebih banyak dana petroleum berbanding kita dahulu,” katanya.
Justeru itu, Rozi mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana secara terus kepada rakyat Terengganu agar mereka sedar bahawa peruntukan tersebut adalah budi bicara dan ehsan keprihatinan daripada kerajaan pusat.
Menyentuh mengenai arah baharu UMNO Terengganu, Rozi menggariskan empat intipati utama.
“Membawa dimensi politik baharu yang bukan sekadar retorik dan parodi di atas kertas tetapi dibuktikan melalui khidmat di lapangan.
“Fokus isu sebenar rakyat dengan menumpukan kepada usaha mengurangkan peningkatan kos hidup, menambahkan peluang pekerjaan dan menyediakan keperluan masa depan anak muda yang lebih terjamin.
“Menguasai medan digital dengan memperluas sumber dan prasarana untuk menyebar luas dan memberikan infomasi secara tepat dan cepat kepada rakyat serta gabungan pengalaman dan kepakaran dengan usaha merapatkan kesenjangan otak dan watak di antara orang lama dan baharu dalam parti,” katanya.
Katanya lagi, UMNO Terengganu penuh tekad akan memperkuatkan kembali jentera, memantapkan struktur dan mengaktifkan cawangan. – UMNO ONLINE
