Apabila Garis Merah Dilanggar, Apakah UMNO Harus Berdiam Diri?
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menimbulkan persoalan apakah mampu UMNO berdiam diri apabila garis merah dilanggar.
Ujar Ahli Parlimen Jelebu itu, garis merah yang dirujuk adalah sepuluh perkara asas yang wujud dalam perjanjian kerjasama Barisan Nasional (BN)/UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ketika pembentukan kerajaan.

“Mengambil contoh kerjasama di antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO/BN telah mengemukakan 10 perkara untuk menjadi asas dalam perjanjian tersebut dan daripada 10 perkara tersebut, dua perkara menjadi asas kepada tindakan UMNO Negeri Sembilan.
“Dua perkara ini yang ingin saya jelaskan pada hari ini iaitu: Perkara Kedua – Kedaulatan Perlembagaan: Menjunjung peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara Ketiga – Hak Bumiputera dan Raja-Raja: Memelihara hak keistimewaan Melayu/Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Perjanjian ini adalah ibarat garis merah yang ditetapkan oleh kedua-dua parti, dan jika mana-mana pihak melanggar garis merah tersebut, ianya dilihat mencabar perjanjian ini,” katanya ketika berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Jelasnya, perkara sedemikan antara titik tolak berlakunya krisis politik di Negeri Sembilan, apabila sebelah pihak melanggar garis merah yang ditetapkan dan mengambil mudah perkara itu seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Isu penting yang sepatutnya dibawa berbincang dan mengambil tanggungjawab bersama di antara BN dan PH, dibuat secara sendiri sehingga mencalarkan imej UMNO.
“Rakyat di luar sana mempertikaikan, apa UMNO buat dalam kerajaan negeri sehingga membiarkan krisis adat ini berlaku?,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Jalaluddin menjelaskan isu yang berkaitan serta kronologinya sehingga membawa kepada UMNO hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun apabila krisis adat dan Perlembagaan negeri gagal diurus dengan tertib.
Sebagai rekod, pada 27 April lalu, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang memaklumkan kesemua ADUN UMNO/Barisan Nasional (BN) sebulat suara menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.
Jalaluddin berkata keputusan itu dibuat selepas berlakunya krisis yang melibatkan institusi adat dan berperlembagaan di Negeri Sembilan, yang disifatkan semakin meruncing serta menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau berkata UMNO/BN kekal memberikan sokongan penuh kepada institusi adat serta Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain menegaskan keperluan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berfungsi dan menghormati Perlembagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar sewajarnya memainkan peranan dengan penuh kebijaksanaan dalam menangani isu berkenaan.
Begitu juga ujarnya, ADUN BN/UMNO tidak pernah dimaklumkan atau dirunding dalam sebarang perbincangan berkaitan perkara tersebut dan hanya mengetahui mengenai krisis itu apabila ia telah mencapai tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum. – UMNO ONLINE
