UMNO Tegaskan Hiburan Perlu Berbatas, Hormati Nilai Agama dan Budaya
KUALA LUMPUR, 1 Mei – UMNO menegaskan bahawa setiap penganjuran program hiburan di negara ini mesti mematuhi nilai agama, adab serta norma masyarakat tempatan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip tersebut tidak boleh dikompromi walaupun dalam usaha memacu kemajuan industri hiburan.
“Dalam apa juga penganjuran program, prinsipnya mesti jelas. Ia tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, UMNO memandang serius pandangan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, yang disifatkan mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah meminta agar program seumpama itu diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.
“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa UMNO tidak menolak hiburan, namun menekankan kepentingan batasan yang jelas.
“Prinsip kita jelas: berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat,” katanya.
Beliau menambah, penganjur acara disaran untuk berbincang dengan pihak berkuasa bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara. – UMNO Online
