Perkasa Pendidikan Bumiputera Agenda Nasional, Perlukan Kesatuan Fikrah Dan Tindakan Bersama

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang menghimpunkan peserta dari pelbagai latar pendidikan merupakan satu agenda memperkasa pendidikan Bumiputera dan bukan untuk kelompok tertentu semata-mata, tetapi ia adalah agenda nasional yang memerlukan kesatuan fikrah, iltizam dan tindakan bersama.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia merupakan manifestasi iltizam kolektif bangsa, melambangkan kesedaran bersama bahawa masa depan Bumiputera tidak boleh diserahkan kepada kebetulan semata-mata dan ia mesti dibina dengan perancangan, keberanian dan kesungguhan yang tersusun.

“Kongres ini bukan sekadar platform perbincangan biasa, ia adalah ruang muhasabah nasional untuk menilai kedudukan Bumiputera dalam landskap pendidikan hari ini. Ia juga merupakan makmal idea, merumus pendekatan baharu yang lebih segar, realistik dan berimpak tinggi.

“Ia juga menjadi medan penyelesaian untuk menangani isu-isu kritikal yag menghambat kemenjadian Bumiputera unggul. Prinsip kita jelas, yang baik kita pertingkatkan, yang lemah kita perbaiki dengan berani dan tuntas.

“Dan yang paling utama bagaimana segala perbincangan, cadangan, serta catatan di atas kertas dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang strategik, ampuh dan benar-benar terlaksana. Bukan retorik semata-mata, kerana bangsa yang besar bukan hanya bangsa yang pandai berbicara tetapi bangsa yang mampu melaksanakan agenda,” katanya ketika berucap di Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Seterusnya ulas Dr Zambry yang juga Pengerusi Kongres, kongres ini diadakan bersempena ulang tahun UMNO Ke-80 di mana UMNO sejak awal perjuangannya menjadikan pendidikan sebagai instrumen mobiliti sosial, pemerkasaan bangsa dan pembinaan tamadun.

Tambah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, pendidikan bukan sahaja soal berapa ramai anak Bumiputera berjaya melangkah masuk ke institusi pendidikan tinggi tetapi perlu dilihat secara menyeluruh.

“Yang lebih penting ialah bagaimana kita memastikan permulaan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak Bumiputera sejak dari peringkat paling awal kehidupan mereka.

“Kerana jurang pendidikan tidak bermula di universiti, ia bermula di peringkat awal kanak-kanak, daripada asas pendidikan berkualiti, persekitaran pembelajaran kondusif, kekuatan institusi keluarga, budaya membaca, penguasaan bahasa, pemakanan sehinggalah kepada sokongan sosial yang membentuk keyakinan dan daya fikir anak-anak.

“Jika asasnya rapuh, maka sukar untuk kita membina generasi yang benar-benar bersaing pada peringkat yang lebih tinggi. Sebab itu kita perlu melihat pendidikan Bumiputera secara menyeluruh daripada pendidikan awal kanak-kanak, sekolah, latihan kemahiran, pendidikan tinggi sehingga kepada pembinaan budaya ilmu sepanjang hayat,” kataya.

Jelas Dr Zambry lagi, kongres ini mahu melahirkan generasi Bumiputera yang mempunyai kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta, keyakinan diri serta keutuhan akhlak dan adab.

Justeru itu katanya, kongres ini digerakkan dengan satu matlamat besar iaitu memperkasa pendidikan Bumiputera secara menyeluruh dan bersepadu.

“Ia diterjemahkan melalui tiga pendekatan utama. Pertama, penyediaan kerangka strategik pendidikan Bumiputera yang jelas, terarah dan berjangka panjang; Kedua, reformasi dasar serta pelaksanaan yang lebih responsif terhadap realiti semasa dan cabaran masa hadapan; Ketiga, iltizam politik (political will) untuk memastikan setiap cadangan tidak berhenti sebagai wacana, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya.

Dr Zambry juga mencadangkan agar resolusi daripada kongres ini akan dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda besar dalam Majlis Pendidikan Negara.

Kongres Pendidikan Bumiputera 2006 ini menghimpunkan enam sesi utama yang terdiri daripada 25 pembentang pakar dan enam pengerusi serta moderator.

Antara fokus utama yang akan dibincangkan termasuk penilaian dasar pendidikan Bumiputera, pengarusperdanaan aliran tahfiz, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan awal kanak-kanak, wakaf pendidikan serta hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO