Peranan Wanita UMNO Diperkasa Seiring Arus Digital
KUALA LUMPUR, 1 Mei — Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, melihat peranan wanita UMNO amat penting selaras dengan perubahan landskap politik semasa yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital.
Menurut beliau, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapan awalnya, peranan wanita dalam parti kini tidak lagi terhad kepada fungsi tradisional seperti Jalinan Rakyat semata-mata, sebaliknya perlu diperluas mengikut keperluan semasa.

“Justeru, peranan wanita UMNO hari ini boleh ditambah dan diperkasakan, khususnya dalam menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Certificate in Digital Communications Leadership serta sesi JR Digital Wanita UMNO Malaysia, malam tadi
Azalina seterusnya berkata, penganjuran kursus pensijilan digital tersebut merupakan langkah awal ke arah melengkapkan wanita UMNO di pelbagai peringkat, terutamanya di peringkat cawangan, dengan kemahiran dan kepakaran yang relevan.
Tambah beliau, usaha itu penting bagi memastikan jentera parti lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 Malaysia, memandangkan dunia kini telah banyak berubah dengan pengaruh media sosial dan perkembangan digital.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini kerana cabaran politik hari ini berbeza berbanding sebelum ini. Kita tidak lagi boleh memasuki pilihan raya dengan pendekatan lama,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sendiri menekankan bahawa landskap politik masa kini adalah berasaskan ‘politik telefon’, di mana segala bentuk komunikasi dan penyampaian maklumat berlaku menerusi peranti digital.
Sehubungan itu, Azalina menegaskan penguasaan kemahiran digital dalam kalangan wanita UMNO amat penting bagi memastikan parti terus relevan dan mampu mendepani cabaran politik masa hadapan.- UMNO Online
