Memperkasa Wanita Dalam Politik Bukan Sekadar Agenda Sosial – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan usaha memperkasa wanita dalam politik bukan sekadar agenda sosial sebaliknya keperluan strategik negara.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, realiti politik tanah air memperlihatkan meskipun terdapat pihak yang menekankan kepentingan wanita, namun ruang yang diberikan masih belum menyeluruh.

“Dalam konteks ini, kita juga harus melihat kepada realiti politik tanah air. Ada pihak yang hanya bercakap tentang wanita, tetapi tidak memberi ruang sebenar.

“Tetapi kita berbeza. Kita bukan sekadar bercakap, kita bertindak. Kita bukan sekadar membuka ruang, kita membuka jalan. Sejarah telah membuktikan bahawa wanita dalam politik khususnya dalam UMNO telah berada di barisan hadapan sejak dahulu lagi.

“Kita ada Tan Sri Rafidah Aziz, Allahyarhamah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang pernah memimpin sektor pendidikan tinggi dalam waktu yang mencabar dan kini memimpin sektor perladangan dan komoditi negara,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada forum Voices of Her: Wanita dan Politik yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar; Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut beliau berkata satu hakikat yang perlu diakui ialah wanita bukan lagi sekadar pelengkap dalam sistem sebaliknya penggerak utama dalam keluarga, masyarakat serta dalam politik dan kepimpinan negara.

Katanya disebabkan itu penglibatan wanita dalam politik bukan lagi soal peluang semata-mata bahkan tentang masa depan kepimpinan negara.

“Kita tidak boleh lagi melihat wanita hanya sebagai penyokong. Sebaliknya, wanita adalah pemimpin yang mampu mencorakkan dasar, menentukan keutamaan dan membawa suara rakyat dengan lebih menyeluruh.

“Apabila wanita terlibat dalam kepimpinan, kita tidak sekadar menambah bilangan, kita meningkatkan kualiti kepimpinan itu sendiri. Kerana wanita membawa perspektif yang lebih inklusif, lebih seimbang dan lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO