Kongres Pendidikan Bumiputera Langkah Besar Bentuk Agenda Masa Depan Bangsa – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan penganjuran kongres tersebut sebagai satu detik bersejarah dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan anak bangsa secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Beliau berkata, buat julung kalinya sebuah kongres khusus yang membincangkan pendidikan Bumiputera diadakan secara berstruktur, melibatkan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, ahli akademik, mahasiswa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan cetusan idea Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu melihat agenda pendidikan Bumiputera diangkat ke tahap lebih tinggi sebagai teras perjuangan parti.
“Selama ini mungkin kita ada pelbagai dasar dan pengumuman, tetapi ini kali pertama kita menghimpunkan semua pihak dalam satu kongres khusus untuk membicarakan pendidikan Bumiputera secara mendalam dan berfokus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Pendidikan Bumiputera yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kongres tersebut berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Dr Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr Puad Zarkashi yang berjaya menganjurkan konvensyen tahun lalu sehingga menjadi asas kepada penganjuran kongres yang lebih besar kali ini.
Menurut beliau, kongres tersebut bukan sekadar platform perbincangan biasa, sebaliknya menjadi medan penting untuk merangka hala tuju baharu pendidikan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Kita tidak lagi boleh berbicara soal kenapa kita berada di tahap ini. Kita mesti bergerak ke hadapan dengan pemikiran lebih besar, selari dengan cabaran dunia yang penuh ketidaktentuan,” katanya.
Tambah beliau, agenda Bumiputera perlu dilihat dalam konteks global dengan pendekatan lebih inklusif dan terbuka, melibatkan penyertaan pelbagai pihak merentasi latar belakang politik dan organisasi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, pembentang dan hadirin yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
“Ini adalah permulaan besar untuk kita melangkah ke hadapan dalam membentuk bangsa yang lebih hebat. Komitmen yang ditunjukkan hari ini membuktikan kesungguhan semua pihak dalam memperkasa pendidikan Bumiputera,” katanya. — UMNO Online
