Bukan Politik Semata, Wanita UMNO Bawa Suara Penyatuan

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun UMNO ke-80, Wanita UMNO Malaysia berbesar hati menganjurkan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai negeri di seluruh negara.

Diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ia sebagai platform untuk mengetengahkan bakat wanita dalam seni nasyid, di samping memperkukuh peranan sebagai penyampai mesej dakwah melalui pendekatan seni yang lembut dan berkesan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata peranan Wanita UMNO dalam perjuangan parti tidak seharusnya dilihat dalam skop politik semata-mata, sebaliknya merangkumi tanggungjawab yang lebih besar dalam membina masyarakat.

“Dalam perjuangan Wanita UMNO, peranan kita tidak terhad kepada politik semata-mata. Kita memikul tanggungjawab yang besar dalam membina institusi keluarga, membentuk generasi masa depan serta mempertahankan nilai dalam kehidupan bermasyarakat.

“Justeru itu, program seperti ini amat penting, lebih-lebih lagi bersempena sambutan ulang tahun UMNO. Ini kerana kekuatan wanita bukan hanya terserlah di pentas politik, tetapi juga melalui suara yang menyeru kepada kebaikan… suara yang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi,” katanya.

Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Sohar; Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut berkenaan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 ini beliau berkata nasyid merupakan medium dakwah yang berkesan dalam menyampaikan mesej nilai dan akhlak kepada masyarakat.

Tambah Noraini, penganjuran program seumpama ini juga menjadi platform untuk meraikan bakat serta memperkukuh hubungan dalam kalangan peserta dan hadirin.

“Nasyid bukan sekadar hiburan semata-mata iaa merupakan satu bentuk dakwah yang disampaikan dengan penuh kelembutan, namun mampu menyentuh hati setiap pendengar. Keindahan nasyid bukan hanya terletak pada kemerduan suara, tetapi juga pada mesej yang dibawa yang mengingatkan kita tentang nilai, akhlak serta erti perjuangan dalam kehidupan.

“Pada hari ini, kita menyaksikan wanita tampil sebagai suara dakwah, bukan sekadar penyokong atau pendengar tetapi sebagai penyampai nilai dan pencorak masa hadapan.

“Melalui ini membuktikan bahawa wanita bukan sahaja memiliki bakat yang besar, malah mampu berkarya dan berani mencuba sesuatu yang baharu,” ujar beliau.

Pertandingan ini akan diserikan dengan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada akhir acara tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO