UMNO Ke-80: Kestabilan Politik Penting, Menjamin Masa Depan Anak Muda

KUALA LUMPUR, 30 April – Mantan Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Rumpun, Bahagian Hang Tuah Jaya, Salamah Yusop berpandangan meskipun berdepan pelbagai cabaran politik UMNO namun parti keramat ini kekal utuh dalam membawa perjuangannya.

Bagaimanapun katanya, cabaran utama ketika ini adalah untuk menarik semula sokongan golongan pelapis khususnya generasi muda agar terus bersama perjuangan parti.

“Sebagai seorang veteran UMNO, saya melihat parti ini pernah mencapai kejayaan dan kemenangan yang membanggakan namun hari ini, cabaran kita adalah untuk menarik semula sokongan golongan pelapis.

“Realitinya, generasi muda sekarang lebih terdedah kepada pengaruh semasa seperti gajet dan media sosial seperti TikTok.

“Perkara ini kadangkala menyebabkan mereka kurang memberi perhatian kepada politik dan perjuangan parti,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bagi mendepani perkara ini beliau menyeru agar pendekatan baharu dirangka dalam usaha mendekati golongan pelapis.

Menurut Salamah khususnya dalam generasi muda bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan anasir luar yang melemahkan semangat perjuangan.

“Walaupun mereka sibuk membina kerjaya, kita perlu sedar bahawa kestabilan politik juga penting untuk menjamin masa depan mereka.

“Tanpa kestabilan, kehidupan dan kerjaya juga boleh terjejas. Harapan saya sudah semestinya mahu generasi pelapis terus bersama UMNO demi masa depan parti dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO