UMNO Bukit Bintang Tegas Bantah Rain Rave, Seru Hormati Nilai Dan Sensitiviti Masyarakat
KUALA LUMPUR, 30 April – UMNO Bahagian Bukit Bintang, yang diketuai oleh Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, menegaskan pendirian konsisten membantah penganjuran festival muzik air Rain Rave yang didakwa tidak selari dengan nilai, norma serta sensitiviti agama dan budaya masyarakat di negara ini.
Tegasnya, walaupun program berkenaan tetap diteruskan namun umat Islam disarankan agar tidak melibatkan diri dalam penganjuran atau penyertaannya demi menjaga sensitiviti serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Sebagai negara yang menitikberatkan keharmonian, setiap program awam perlu mengambil kira latar sosio-budaya tempatan bagi mengelakkan polemik dan persepsi negatif,” menurut Tengku Azman menersui hantaran di laman Facebooknya.
Pada masa sama, beliau juga menggesa pihak kerajaan supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan, sensitiviti agama dan kesejahteraan sosial, serta meneliti dengan lebih teliti penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Azman turut menegaskan bahawa UMNO perlu terus memperkukuhkan perpaduan dalaman dan memastikan pendekatan parti kekal relevan dengan perubahan zaman, tanpa mengabaikan asas perjuangan.
“Kita tidak boleh hanya bersandar pada sejarah. Kita mesti terus bekerja, mendengar denyut nadi rakyat dan memperbaiki kelemahan untuk memastikan UMNO terus relevan dan diyakini,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmen berterusan mereka untuk mempertahankan nilai murni, budaya serta keharmonian masyarakat, selain memastikan suara rakyat terus diangkat demi kesejahteraan bersama. – UMNO Online
