Rumah Bangsa Keterbukaan UMNO, Langkah Tepat Demi Kelangsungan Parti – Syahbuddin
KUALA LUMPUR, 30 April – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim menyifatkan cetusan idea ‘Rumah Bangsa’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu langkah tepat demi memastikan kelangsungan dan kekuatan parti.
Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Abe Din’ berkata, gagasan tersebut bukan sahaja mampu merapatkan barisan dalam kalangan ahli, malah membuka ruang kepada bekas pemimpin serta ahli yang pernah meninggalkan parti untuk kembali ke pangkuan UMNO.
Jelasnya, usaha yang digerakkan itu mendapat sambutan amat menggalakkan apabila lebih 6,000 individu dilaporkan berminat untuk kembali menyertai parti.
“Ini adalah petanda sangat baik. Kita dapat lihat mereka yang pernah keluar sebelum ini sebenarnya masih sayangkan UMNO. Cuma persoalannya, mereka mahu melihat sama ada UMNO juga bersedia menerima dan menghargai mereka kembali.
“Betapa besarnya jiwa beliau (Ahmad Zahid) agar tidak ada pertelingkahan dalaman, perselisihan dimaafkan dan kembali mengukuhkan parti, sasaran utama adalah menang pilihan raya.
“Sekiranya masih bertelingkah dan berselisih antara satu sama lain dan tidak mencapai kemenangan pasti sukar dicapai. Hari ini UMNO memerlukan semua pihak apatlagi orang-orang yang pernah berjasa,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda Rumah Bangsa perlu diteruskan selaras dengan hasrat kepimpinan tertinggi parti, yang diputuskan melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara kolektif dan bertanggungjawab.
Mengulas lanjut, Abe Din yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas menjelaskan perjalanan 80 tahun UMNO merupakan satu tempoh yang panjang dan signifikan, justeru usaha memperluaskan kembali pengaruh parti perlu digiatkan agar terus relevan.
“80 tahun pengalaman UMNO adalah satu jangka masa yang panjang dan perlu untuk meluaskan kembalikan parti ini dan pastikan Rumah Bangsa ini terus terpelihara dengan baik.
“Kita memerlukan lebih ramai untuk bersama-sama mendirikan ‘Rumah Bangsa’ ini. Ia penting bagi melahirkan kekuatan baharu dan memastikan perjuangan bangsa terus diperkukuh oleh semua pihak,” ujarnya. – UMNO Online
