Puteri UMNO Kecam Penahanan Kapal Global Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengutuk penahanan kapal Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) oleh tentera rejim Israel.

Beliau berkata perbuatan tersebut disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip hak asasi manusia sejagat serta undang-undang antarabangsa.

“Puteri UMNO dengan tegas mengecam tindakan penahanan dan gangguan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud-Flotilla, yang jelas merupakan satu pencabulan serius terhadap prinsip hak asasi manusia sejagat dan undang-undang antarabangsa.

“Puteri UMNO menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan atau disekat atas apa jua alasan,” katanya.

Nurul Amal berkata demikian ketika Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn hari ini.

Sementara itu, beliau turut sama menegaskan sukarelawan wajar diberikan jaminan keselamatan serta kebebasan untuk melaksanakan tugas kemanusiaan tanpa ancaman dan sekatan.

“Semua sukarelawan harus diberikan perlindungan dan kebebasan untuk melaksanakan misi kemanusiaan tanpa ancaman atau penahanan.

“Komuniti antarabangsa mesti bertindak tegas dan tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman dan pencabulan hak asasi,” katanya.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Kejadian yang berlaku pada 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia (6 petang hingga 4 pagi waktu Greece) berlaku apabila kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera rejim Zionis Israel (IOF) sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO