Johari Seru Ahli UMNO Terus Setia, Bersatu Perkukuh Parti Agar Sentiasa Relevan
KUALA LUMPUR, 30 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menyeru seluruh ahli parti agar terus setia, bersatu dan memperkukuh kekuatan UMNO sempena ulang tahun ke-80 penubuhannya.
Beliau yang juga Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan rasa bangga menjadi ahli UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara sejak sebelum kemerdekaan hingga kini, serta menekankan bahawa kelangsungan parti selama lapan dekad adalah hasil perjuangan generasi terdahulu.

“Saya merasa sangat bangga menjadi ahli UMNO, iaitu sebuah parti yang telah menjangkau usia 80 tahun. UMNO ini adalah merupakan sebuah parti yang telah banyak jasa kepada negara, sebelum mendapat kemerdekaan sehingga hari ini berusia 80 tahun,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan mengekalkan UMNO selama 80 tahun adalah hasil pengorbanan pejuang terdahulu yang memastikan parti kekal utuh walaupun berdepan turun naik kekuatan politik.
“Sudah tentu banyak jasa UMNO yang tidak terhitung malah kejayaan mengekalkan UMNO selama 80 tahun adalah kerana ramai pejuang-pejuang terdahulu yang akhirnya sampai ke generasi hari ini tetap utuh dan boleh bersama parti yang tetap kita banggakan walaupun kita ada naik dan turun dari segi kekuatan politik kita,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pemimpin masa kini untuk memastikan parti terus mendapat kekuatan di semua peringkat dan kekal relevan.
“Sudah tentu dalam tempoh yang begitu lama adalah menjadi tanggungjawab kita yang menjadi pemimpin masa kini untuk memastikan bahawa parti ini akan terus mendapat kekuatan daripada semua di setiap peringkat sama ada di peringkat nasional, negeri atau di cawangan-cawangan.
“Kita perlu bersatu padu untuk memastikan UMNO ini terus relevan dan kekal memainkan peranan, untuk menjadi sebuah parti yang boleh kita tinggalkan kepada generasi akan datang dengan kekuatan yang telah kita pulihkan,” katanya lagi.
Sempena ulang tahun ke-80 UMNO, beliau turut mengajak semua ahli untuk terus setia dan bersatu demi memastikan parti kekal kukuh dan dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan.
“Sempena usia UMNO 80 tahun ini saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO marilah kita terus setia, bersatu dan terus berkorban jiwa dan raga bagi memastikan UMNO ini akan terus kekal selama-lamanya. Selamat menyambut 80 tahun UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online
