Gerak Kerja UMNO Tidak Pernah Terhenti, Salina Seru Ahli Terus Setia Berkhidmat

BEHRANG, 30 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin menekankan bahawa gerak kerja UMNO di peringkat akar umbi sentiasa diperkukuh dengan komitmen berterusan terhadap perjuangan parti dan khidmat kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai ahli parti bukan hanya tertumpu kepada waktu lapang atau musim tertentu, sebaliknya ia adalah amanah berterusan yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan.

“Gerak kerja parti tak pernah berhenti. Dalam kesibukan, dalam urusan harian, amanah kepada perjuangan tetap dipegang. Sebab ini bukan soal masa lapang… ini soal tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesetiaan dan kesungguhan ahlinya dalam melaksanakan tugas, walaupun berdepan cabaran dan keletihan.

“UMNO inilah tempat kita belajar setia, belajar berkhidmat dan terus berdiri walau penat,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, kesinambungan perjuangan di peringkat cawangan amat penting kerana ia menjadi nadi utama dalam menyampaikan suara rakyat serta memastikan keperluan komuniti setempat tidak terpinggir.

“Perjuangan ini panjang… dan saya percaya, selagi ada yang ikhlas bekerja, selagi itu harapan rakyat tak akan terpadam. Teruskan langkah. Kita buat kerja,” ujarnya.

Mesyuarat cawangan tersebut turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan pengukuhan organisasi, perancangan aktiviti akar umbi, serta usaha mempertingkatkan penyertaan ahli dalam program kemasyarakatan di Teluk Kecil. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO