UMNO/BN Negeri Sembilan Tegas: Bukan “Tebuk Atap”, Isu Kepercayaan Terhadap Kepimpinan
SEREMBAN, 29 April – UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan bahawa tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar bukanlah satu gerakan “tebuk atap”, sebaliknya berpunca daripada krisis keyakinan terhadap kepimpinan negeri.
Dalam satu kenyataan bersama melibatkan ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan menolak sama sekali dakwaan pihak tertentu yang cuba melabelkan tindakan tersebut sebagai usaha mengambil alih pentadbiran secara tidak bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu, pendirian yang diambil adalah terbuka, berprinsip dan berasaskan kepada keperluan menjaga kestabilan serta menghormati institusi adat dan perlembagaan negeri.

“Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib,” tegas kenyataan tersebut.
UMNO/BN Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mencampuri urusan adat.
Namun, mereka tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama sekiranya tindakan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat dan menjejaskan keharmonian institusi.
“UMN/ BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO/BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, semua pihak termasuk Pakatan Harapan diseur agar tidak menyempitkan isu ini kepada naratif politik semata-mata.
Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa krisis yang berlaku melibatkan perkara lebih besar, termasuk kedudukan institusi adat, perlembagaan negeri serta kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa segala langkah susulan perlu dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri serta tertib institusi, di samping terus menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Tegasnya lagi, rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus mengenai punca krisis tersebut, termasuk mengapa wakil rakyat UMNO-BN tidak dimaklumkan dalam beberapa keputusan penting kerajaan negeri.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang jujur tentang bagaimana krisis ini berlaku dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan,” katanya. – UMNO Online
