UMNO 80 Tahun: Terus Relevan, Tekad Perkukuh Perjuangan – Zulfadli Musri
KUALA LUMPUR, 29 April – Lebih 60 tahun, UMNO telah menjadi peneraju kerajaan yang menjaga ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat serta mengekalkan kestabilan politik sehingga membolehkan negara terus membangun dengan infrastruktur yang lebih moden, peluang pekerjaan yang lebih luas dan sistem pendidikan yang semakin diperkasakan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kimanis, Mohd Zulfadli Musri berkata, sepanjang tempoh tersebut pelbagai dasar telah diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya di kawasan luar bandar serta dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
“Walaupun berdepan cabaran politik dan ekonomi dari semasa ke semasa, UMNO kekal memainkan peranan sebagai antara tonggak utama dalam membentuk hala tuju pembangunan negara.
“Situasi itu menjadi pengajaran besar kepada UMNO bahawa kestabilan politik bukan sekadar soal siapa yang memerintah, tetapi bagaimana mandat rakyat dihormati dan institusi negara diperkukuhkan.
“Rakyat dapat menilai bahawa perubahan kerajaan yang berlaku secara tidak terancang hanya membawa kepada ketidaktentuan dasar, kelembapan pelaburan serta kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kos sara hidup dan keyakinan pasaran,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menambah pengalaman pahit itu menjadi titik tolak kepada UMNO untuk lebih berhati-hati, realistik dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan politik, agar kepentingan rakyat dan negara sentiasa menjadi keutamaan mengatasi segala kepentingan lain.
Seterusnya kata Zulfadli, sempena ulang tahun UMNO ke-80 ini diharapkan parti terus diperkasakan serta memperkemas gerak kerja akar umbi.
“Usia lapan dekad ini menjadi bukti panjangnya perjalanan perjuangan UMNO dalam landskap politik negara, sekali gus menuntut setiap ahli untuk terus memperkukuh kesatuan dan mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap parti.
“UMNO perlu terus bergerak ke hadapan dengan pendekatan yang lebih segar, inklusif dan dekat dengan rakyat. Perubahan landskap politik semasa menuntut parti untuk lebih responsif terhadap suara generasi muda, isu ekonomi rakyat serta cabaran semasa yang semakin kompleks tanpa melupakan asas perjuangan asal yang menjadi tunjang kekuatan parti,” ujarnya.
Zulfadli menegaskan bahawa kesepaduan dalam kalangan ahli parti serta iltizam yang berterusan menjadi asas penting dalam memastikan kebangkitan semula parti itu.
“Insya-Allah… dengan kesepaduan dan iltizam yang berterusan, selepas pilihan raya akan datang UMNO akan kembali menjadi kerajaan yang dominan.
“Keyakinan ini bersandarkan kepada kekuatan pengalaman, jaringan akar umbi yang kukuh serta usaha berterusan dalam memperjuangkan agenda rakyat demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara dapat terus dipertahankan,” tegasnya. – UMNO Online
