Tangani Kos Sara Hidup Rakyat, Elak Jurang Sosial Kian Ketara – Syed Hussein
KUALA LUMPUR, 29 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah menegaskan peningkatan jumlah individu ultra-kaya di Malaysia tidak boleh dilihat sebagai indikator kejayaan ekonomi semata-mata tanpa menilai realiti sebenar yang dihadapi rakyat marhaen.
Ujarnya, kini rakyat sedang berdepan realiti yang jauh lebih keras antaranya harga barang naik, sewa rumah naik, ansuran kereta naik, bil utiliti naik, dan yang paling menyedihkan, gaji masih bergerak perlahan.

“Jumlah individu ultra-kaya di negara ini yang memiliki aset melebihi AS$30 juta dijangka meningkat daripada 1,566 orang pada tahun 2026 kepada 1,881 orang menjelang 2031, iaitu lonjakan sekitar 20.1 peratus.
“Ini bermakna, dalam keadaan dunia berdepan krisis global, ketidaktentuan ekonomi, inflasi dan kos sara hidup yang mencanak, masih ada kelompok yang terus menambah kekayaan.
“Namun, rakyat biasa pula hari ini sedang berdepan realiti yang jauh lebih mencabar harga barang meningkat, sewa rumah naik, ansuran kenderaan bertambah, bil utiliti melonjak, tetapi kadar kenaikan gaji masih perlahan,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan situasi ini bukan lagi sekadar angka statistik, sebaliknya merupakan isu kelangsungan hidup rakyat yang semakin terhimpit dalam mengharungi kehidupan seharian.
“Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus bercakap tentang angka pertumbuhan ekonomi dan pelaburan besar semata-mata, jika rakyat di bawah masih bergelut untuk membeli barang dapur dan menampung keperluan anak-anak.
“Alhamdulillah… di Negeri Johor, berkat hasil usaha dari Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan exco dan seluruh kakitangan kerajaan negeri memastikan setiap kejayaan yang dicapai dengan pelaburan mencapai RM 110 Billion dipulangkan hasilnya kembali kepada rakyat (Bangsa Johor).
“Lebih dari RM200 juta telah dipulangkan kepada lebih 500,000 penerima di seluruh Negeri Johor yang dinamakan Bantuan Kasih Johor bermula tahun lepas hingga kini dan insyallah pada sidang dewan akan datang YAB MB akan mengumumkan lagi kategori yang tercicir dari sebelumnya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNOM Bahagian Kluang menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih berani dan berkesan bagi menangani isu kos sara hidup yang semakin meruncing.
“Antaranya dengan mengawal harga secara lebih agresif, pastikan gaji dan peluang kerja meningkat seiring inflasi, perkukuh subsidi bersasar yang benar-benar sampai kepada rakyat, perangi kartel dan monopoli yang menekan harga pasaran, membantu peniaga kecil dan pks, bukan hanya pemain besar dan mewujudkan mekanisme perlindungan rakyat ketika ekonomi tidak stabil,” jelasnya lagi.
Selain itu, katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping mewujudkan mekanisme perlindungan rakyat ketika ekonomi tidak menentu.
“Jika kelompok ultra kaya terus bertambah tetapi rakyat biasa terus tenggelam, negara akan berdepan masalah lebih besar dengan jurang sosial melebar, tekanan hidup meningkat, dan kepercayaan rakyat kepada sistem akan runtuh.
“Malaysia tidak kekurangan orang kaya, yang kita perlukan ialah kerajaan yang memastikan rakyat biasa tidak menjadi mangsa dalam permainan ekonomi. Ekonomi negara mesti berkembang, tetapi ekonomi rakyat mesti diselamatkan,” tegasnya. – UMNO Online
