Mohd Zaidy Tegaskan Kesetiaan Kepada UMNO/BN, Nafi Dakwaan Perpecahan
SEREMBAN, 29 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menegaskan pendiriannya untuk terus setia bersama UMNO/Barisan Nasional (BN) serta menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menafikan segala spekulasi yang tular di media sosial kononnya wujud perpecahan dalam kalangan kepimpinan parti di Negeri Sembilan.
Dalam hal ini, beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mengeruhkan keadaan politik semasa negeri.
“Pendirian saya jelas, taat setia kepada parti serta akur kepada keputusan pucuk pimpinan. Segala khabar angin yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau menambah bahawa fokus utama ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara, selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidy menegaskan bahawa keutamaannya adalah kekal fokus kepada mandat rakyat dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang boleh menjejaskan perpaduan.
“Kita perlu kekal fokus kepada tanggungjawab dan komitmen saya selaku wakil rakyat. Kita akui bahawa rakyat mahukan kestabilan, bukan perbalahan malah ia adalah selari dengan prinsip bersama parti dan kepimpinan Presiden UMNO,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Kenyataan tersebut hadir di tengah-tengah suasana politik Negeri Sembilan yang sebelum ini berombak susulan perubahan landskap ekoran pemecatan Undang Sungei Ujong dan Yang di-Pertuan Besar, yang membawa kepada penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Susulan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan kesemua ADUN UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Isnin.– UMNO Online
