Kekeliruan Institusi Cetus Ketidaktentuan Politik – Hasnal Rezua
KUALA LUMPUR, 29 April – Pertikaian melibatkan kuasa dan bidang kuasa perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan implikasi lebih besar terhadap keabsahan sesuatu keputusan.
Pengamal Undang-undang Datuk Hasnal Rezua Merican berpandangan bahawa kerajaan minoriti sentiasa berdepan cabaran besar dalam memastikan kelangsungan pentadbiran yang stabil.
Jelasnya, kedudukan kerajaan yang tidak mempunyai sokongan majoriti jelas membuka ruang kepada ketidaktentuan politik, khususnya dalam proses meluluskan dasar dan keputusan penting di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerajaan minoriti sentiasa terdedah kepada cabaran mendapatkan sokongan majoriti dalam Dewan. Jika gagal, kerajaan boleh tumbang dan ini akan menjejaskan keupayaan untuk meluluskan dasar.
“Aspek legitimasi dalam situasi pertukaran kuasa, khususnya berkaitan pihak yang mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar sekiranya kedudukan institusi berkaitan masih dipertikaikan.
“Tanpa penyelesaian yang jelas, krisis ini akan terus berlarutan dan menjejaskan kestabilan politik serta pentadbiran negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasnal yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata, sebarang kelewatan dalam merungkai isu berkenaan boleh menyebabkan setiap tindakan susulan dipersoalkan dari sudut sah atau tidak.
“Apabila timbul pertikaian mengenai kuasa dan bidang kuasa, ia mesti diselesaikan segera. Jika tidak, semua tindakan selepas itu akan dipersoalkan sama ada sah atau tidak.
“Kegagalan merungkai isu tersebut secara tuntas boleh menimbulkan persoalan terhadap kesahihan setiap tindakan yang diambil selepas itu, termasuk keputusan berkaitan persidangan DUN.
“Situasi semasa telah menimbulkan ketidaktentuan dalam perjalanan sidang DUN, termasuk sama ada persidangan boleh diteruskan, rang undang-undang dibentangkan atau sebaliknya,” katanya lagi.
Tambah beliau, keadaan itu berpunca daripada persoalan asas berkaitan legitimasi yang masih belum diputuskan secara muktamad.
“Keadaan kebuntuan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri,” ujarnya. – UMNO Online
