Isu Negeri Lain Jadi Modal Politik, Pemuda UMNO Hulu Selangor Bidas Tindakan Alih Perhatian
HULU SELANGOR, 29 April — Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor menyelar kenyataan seorang pemimpin PKR Selangor yang didakwa mendesak wakil UMNO disingkirkan daripada pentadbiran negeri, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu sebenar di Selangor.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim, berkata pihaknya memandang sinis tindakan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.

“Lebih menghairankan apabila mereka terpaksa mengheret isu politik di negeri lain untuk dijadikan modal menyerang UMNO di Selangor. Ini jelas menunjukkan mereka ketandusan idea serta gagal menjawab kelemahan pentadbiran sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, isu yang dibangkitkan itu hanya melibatkan Negeri Sembilan dan tidak wajar diperbesarkan sehingga menjejaskan kestabilan politik di Selangor.
Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat Selangor kini berdepan pelbagai isu lebih mendesak seperti kos sara hidup, banjir berulang, pembangunan tidak seimbang serta masalah perumahan yang memerlukan perhatian segera.
“Hakikatnya, rakyat Selangor sedang berdepan tekanan harian yang memerlukan penyelesaian, bukannya retorik politik atau serangan persepsi,” ujarnya.
Omar Al-Khattab turut mempersoalkan sikap segelintir pemimpin yang lantang mengkritik pihak lain, namun berdiam diri dalam isu tempatan termasuk polemik melibatkan wakil rakyat di Seri Kembangan berkaitan penternakan babi.
Beliau menambah, sekiranya PKR benar-benar ingin menegakkan prinsip, mereka seharusnya memperbetulkan barisan sendiri terlebih dahulu sebelum mendesak pihak lain.
“Utamakan titah Tuanku, antaranya menyelesaikan isu banjir yang semakin mendesak di Selangor ini,” katanya lagi.
Beliau yakin rakyat Selangor kini semakin matang dalam menilai kepimpinan dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi politik.
“Jangan pinjam isu negeri lain untuk menutup masalah sendiri di Selangor,” tegas beliau lagi. – UMNO Online
