Gagasan Rumah Bangsa: Iltizam, Kesungguhan UMNO Rapatkan Saf Perjuangan

KUALA LUMPUR, 18 April – Gagasan Rumah Bangsa menggambarkan iltizam dan kesungguhan UMNO untuk merapatkan saf perjuangan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam tadi mengambil keputusan signifikan dengan menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa.

“Saya bersama-sama rakan-rakan menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Melaka International Trade Centre, malam tadi.

“Antara keputusan yang signifikan adalah sokongan penuh terhadap gagasan Rumah Bangsa … satu pendekatan inklusif yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan UMNO.

“Dengan semangat penyatuan ini, Mesyuarat MKT telah meluluskan kemasukan semula beberapa tokoh utama termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Syed Hamid Albar bersama ribuan ahli lain di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa usaha tersebut mencerminkan kesungguhan UMNO untuk bangkit semula demi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Langkah ini jelas menggambarkan iltizam dan kesungguhan UMNO untuk bangkit, sekali gus merapatkan saf perjuangan dan mengembalikan keyakinan rakyat.

“Ia bukan sekadar keputusan organisasi, tetapi menjadi manifestasi bahawa UMNO kekal relevan, semakin inklusif dan sentiasa bersedia untuk terus memimpin serta berkhidmat kepada rakyat.

“Insya-Allah, UMNO akan terus teguh dalam perjuangannya demi agama, bangsa dan agama. Bersatu. Bersetia. Berkhidmat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO