Taman Negara Tanjung Piai Berwajah Baharu, Tarikan Utama Pelancongan Johor

JOHOR BAHRU, 13 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkongsi berita gembira apabila Taman Negara Tanjung Piai kini tampil dengan wajah baharu selepas projek naik taraf infrastruktur siap sepenuhnya.

Menurut beliau, projek yang melibatkan kos sekitar RM3.33 juta itu merangkumi pelbagai penambahbaikan termasuk Galeri Piai, laman tiba, kedai cenderamata serta kemudahan asas seperti tandas dan surau bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.

“Taman Negara Tanjung Piai bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi lambang keindahan alam dan warisan Johor yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang serta dikongsi dengan dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambah beliau, keunikan Tanjung Piai terserlah melalui empat tarikan utama yang menjadikannya lokasi wajib dikunjungi, iaitu kedudukannya sebagai titik paling selatan di tanah besar Asia, kehadiran hidupan semula jadi seperti ikan belacak, keindahan ekosistem paya bakau serta pengalaman menyaksikan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dari satu lokasi.

“Taman Negara Tanjung Piai beroperasi setiap hari dan berperanan sebagai destinasi ekopelancongan, serta ruang pendidikan yang memberi kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.

“Sempena Tahun Melawat Johor 2026, Taman Negara Tanjung Piai menjadi antara destinasi wajib dikunjungi, bukan sahaja kerana keindahannya, tetapi kerana nilai dan cerita yang dibawanya. Inilah Johor yang kaya dengan keindahan alam untuk tatapan seluruh dunia.

“Semoga keindahan alam semula jadi serta keunikan budaya Johor terus terpelihara dan dihargai, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung serta merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah.”

Bagi kemasukan, harga tiket ditawarkan pada kadar berpatutan iaitu RM5 bagi warganegara dewasa, RM3 bagi pelajar (7 hingga 17 tahun) dan warga emas, RM20 bagi bukan warganegara dewasa, serta RM10 bagi bukan warganegara pelajar dan warga emas. Kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah serta pemegang kad OKU pula menikmati kemasukan percuma. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO