Mohd Rafi Seru Ahli UMNO Pupuk Kasih Sayang Demi Kelangsungan Parti

LABUAN, 13 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyeru seluruh ahli parti khususnya di peringkat akar umbi agar terus menanam sifat kasih dan sayang terhadap UMNO demi memastikan kelangsungan serta relevansi parti itu pada masa hadapan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, keikhlasan dan kesetiaan ahli merupakan asas penting yang akan menentukan kekuatan UMNO dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli UMNO di peringkat akar umbi agar menanam sifat kasih dan sayang terhadap parti, kerana hanya dengan keikhlasan dan kesetiaan, UMNO akan terus kekal relevan dan dihormati oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kerupang yang merupakan cawangan pertama mengadakan mesyuarat di Labuan bagi tahun ini.

Menurut beliau, kehadiran memberangsangkan termasuk penyertaan golongan muda mencerminkan bahawa semangat perjuangan parti itu masih utuh dan terus subur dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penyatuan dalam kalangan ahli parti di semua peringkat adalah kunci utama kepada kekuatan dan kejayaan UMNO.
“Tanpa kesatuan kita akan lemah, tetapi dengan kesatuan kita mampu bangkit lebih kuat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Cawangan Kerupang, Roslan Ibrahim atas komitmen menjadikan cawangan tersebut sebagai yang terawal mengadakan mesyuarat tahun ini, sekali gus diharap menjadi contoh kepada cawangan lain.

Mohd Rafi menambah, UMNO perlu terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap gerak kerja agar kekal diyakini dan dihormati oleh masyarakat.

Persidangan UMNO Cawangan berlangsung sejak 1 April lalu sehingga 17 Mei 2026 yang kemudian akan disusuli Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Perhimpunan Agung UMNO 2026 pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO