Dr Asyraf Turun Padang Santuni Masyarakat, Golongan Memerlukan
KUALA LUMPUR, 13 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berbesar hati turun padang bagi menyantuni warga Gerik melalui pelbagai program bersama masyarakat setempat.
Menurut beliau, selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat, kunjungan tersebut turut memberi ruang untuk beliau menghulurkan sumbangan peribadi serta mendengar sendiri permasalahan rakyat.
“Memang menjadi rutin mingguan apabila pulang ke Gerik, jadual disusun dari pagi hingga lewat malam bukan sahaja memenuhi undangan kenduri tetapi juga menziarahi mereka yang uzur, ditimpa musibah dan warga emas.
“Selain dapat mengeratkan hubungan, menghulurkan sedikit sumbangan peribadi, dapatlah saya mendengar sendiri apa jua permasalahan mahupun keluhan orang kampung yang memgharapkan saya dapat membantu dengan memanjangkan permohonan mereka kepada pihak berwajib.
“Sejujurnya rasa penat atau letih pasti hilang apabila melihat keriangan dan kemesraan orang kampung yang begitu ceria menyambut kehadiran saya di mana-mana sama ada di program kenduri, ziarah mahupun acara-acara jemputan lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Memanfaatkan keberadaan di Gerik, beliau mengisi masa dengan pelbagai program bersama masyarakat yang berlangsung seawal subuh hingga ke petang.
Pengisian dimulakan seawal pagi solat subuh berjemaah di Masjid Ehsaniah, Kampung Pahat, diikuti sarapan pagi bersama penduduk setempat dalam suasana penuh mesra sebelum berkesempatan menziarahi keluarga yang diuji dengan pemergian insan tersayang di Kampung Pahat Luar.
Dr Asyraf kemudian melakukan ziarah kasih menyantuni beberapa penduduk uzur di Taman Puncak Nilam, Gerik dan Kampung Pahat Luar.
“Melihat sendiri keadaan mereka mengingatkan kita bahawa masih ramai yang memerlukan perhatian dan bantuan. Insya-Allah, mana yang termampu akan kita bantu dan kita doakan agar segala urusan mereka dipermudahkan,” ujar beliau.
Sementara itu beliau turut sama memenuhi undangan merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengan Kebangsaan (SMK) Bersia Felda, Sekolah Kebangsaan (SK) Pahit, SK Kroh dan SK Ayer Panas.
“Saya sempat bertemu anak-anak pelajar cemerlang SPM dari SMK Tun Saban di SK Ayer Panas. Saya percaya hanya dengan pendidikan, dapat merubah nasib keluarga. Pendidikan amat penting khususnya di luar bandar.
“MARA akan terus komited membantu membuka lebih banyak peluang buat anak-anak di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau. – UMNO Online
