Azalina Anjur Rumah Terbuka Aidilfitri, Eratkan Silaturahim Bersama Warga Pengerang

KUALA LUMPUR, 11 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri bersama rakyat di kawasan dalam suasana penuh kemeriahan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran di Facebook menyifatkan penganjuran tersebut sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim serta mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan untuk bersama warga Parlimen Pengerang dalam suasana penuh kemeriahan di rumah terbuka Aidilfitri,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sambutan Aidilfitri bukan sekadar medan meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, sebaliknya perlu dijadikan ruang untuk memperkukuh perpaduan serta menyemai nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.

“Namun dalam kita bergembira, kita juga tidak lupa bahawa dunia hari ini sedang berdepan pelbagai konflik dan cabaran.

“Marilah kita sama-sama menitipkan doa buat mereka yang terkesan agar diberi kekuatan, keamanan dan keadilan.

“Semoga semangat Aidilfitri ini terus mengingatkan kita tentang nilai ihsan, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap sesama insan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO