Perkasa PERDA-TECH: Pelbagai Strategik Akan Terus Dirangka, Dilaksanakan
KUALA LUMPUR, 10 April – Pelbagai perancangan strategik akan dirangka dan dilaksanakan untuk memperkasa Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), kata Pengerusi Majlis Penasihat PERDA-TECH, Mohd Hilmi Elias.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa satu sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan di PERDA-TECH telah diadakan pada Jumaat.

“Selepas diberi amanah oleh Pengerusi dan barisan Lembaga Pengarah PERDA untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PERDA-TECH, saya telah berpeluang mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan.
“Sesi ini turut disusuli dengan dialog dan ‘townhall’ bersama para pelajar peringkat diploma serta sijil, selain pertemuan bersama alumni.
“Perbincangan yang berlangsung memberi ruang untuk memahami secara lebih mendalam keperluan, cabaran dan aspirasi warga PERDA-TECH dalam usaha memperkukuh lagi institusi ini,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang memaklumkan kini PERDA-TECH menawarkan hampir 21 program dengan kadar kebolehpasaran graduan sehingga 90 peratus.

“Untuk rekod, PERDA-TECH yang ditubuhkan pada tahun 1989 sebagai Pusat Latihan Kemahiran PERDA, telah dinaik taraf sebagai institut kemahiran tinggi pada tahun 2007.
“Kini, institusi ini menawarkan hampir 21 program di peringkat diploma dan sijil, dengan jumlah pelajar seramai 1,100 orang serta 74 tenaga pengajar. Kadar kebolehpasaran graduan PERDA-TECH mencatatakan sehingga 90 peratus.
“Insya-Allah, pelbagai perancangan strategik akan terus dirangka dan dilaksanakan bagi memperkasa PERDA-TECH sebagai institusi pendidikan kemahiran yang berdaya saing, sekaligus memberi manfaat kepada pelajar, industri serta masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online
