Pemuda UMNO Perhebat Jelajah UMNOSiswa, Perkukuh Suara Mahasiswa
KUALA LUMPUR, 9 April – Komitmen UMNO dalam mendekati dan memperkasa golongan muda terus dizahirkan apabila Pemuda UMNO Perak menggerakkan Jelajah Aspirasi UMNOSiswa sebagai platform memperkukuh peranan mahasiswa dalam landskap perjuangan parti.
Bendahari Pemuda UMNO Perak, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, siri jelajah tersebut diteruskan dengan pertemuan bersama UMNOSiswa di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tambun, pertemuan berkenaan menjadi kesinambungan kepada usaha berterusan dalam memperkemas penyelarasan gerak kerja di peringkat mahasiswa agar setiap pandangan serta aspirasi anak muda dapat dihimpunkan secara lebih tersusun dan berfokus.
“Jelajah ini bukan sahaja memperkukuh gerak kerja organisasi, malah menjadi medan mengeratkan ukhuwah antara kepimpinan dan akar umbi, di samping membina kesefahaman dalam membawa suara mahasiswa ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, UMNO sentiasa komited dalam memastikan golongan muda, khususnya mahasiswa, terus diberi ruang dan peluang untuk memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara.
Jelasnya lagi, usaha tersebut akan terus diperkasakan agar UMNOSiswa kekal sebagai wadah utama dalam melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berwibawa, berdaya saing serta menjadi pelapis kepada perjuangan parti. – UMNO Online
