Operasi Pembenihan Awan Berjaya, Ahmad Zahid Rakam Penghargaan Kepada Petugas

KUALA LUMPUR, 9 April — Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah dilaksanakan dengan baik termasuk tumpuan operasi terbaharu melibatkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata operasi tersebut digerakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia, dan telah berjaya disempurnakan dengan selamat.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, operasi kali ini menggunakan empat tangki bancuhan larutan garam, masing-masing mengandungi 200 kilogram natrium klorida yang dilarutkan dalam 1,500 liter air sebelum disembur ke dalam formasi awan kumulus menara di kawasan sasaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas yang bertungkus-lumus memastikan operasi ini berjalan lancar,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar rakyat bersama-sama mendoakan kejayaan usaha tersebut demi kepentingan bekalan air negara.

“Sama-sama kita mendoakan agar setiap ikhtiar ini memberi kesan yang baik, khususnya dalam meningkatkan paras air empangan serta menjamin bekalan air untuk rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa, dan segala usaha akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan bekalan air negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO