Jemaah Menteri Lulus Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 9 April – Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana dan pengurangan risiko di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan MPBN menandakan satu anjakan besar daripada pendekatan lama yang lebih bersifat teknikal dan berasingan kepada sistem yang lebih menyeluruh, bersepadu serta dipacu kepimpinan tertinggi negara.

Menurut beliau, cadangan tersebut telah diperhalusi dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Pusat sebelum ini, selaras dengan hala tuju Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dilancarkan pada tahun 2024.
“Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu dengan perubahan iklim yang menjadikan bencana lebih kerap dan kompleks, negara tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama yang bersifat reaktif dan berasingan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menambah, MPBN akan menghimpunkan menteri-menteri Persekutuan, Menteri Besar, Ketua Menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan dalam satu platform tertinggi negara bagi mempercepatkan keputusan, memperkemas penyelarasan dan memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun di lapangan.
“Melalui mekanisme ini, keputusan dapat dipercepatkan, penyelarasan diperkemas dan tindakan di lapangan dapat digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dengan negeri,” jelasnya.
Ujarnya, Penubuhan MPBN juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada pendekatan yang lebih menekankan kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko.
“Kita bukan sahaja mahu bertindak apabila musibah berlaku, tetapi memastikan negara lebih awal bersedia, risiko dapat diminimumkan, dan impaknya terhadap nyawa rakyat, harta benda serta ekonomi negara dapat dikurangkan sebaik mungkin.
“Pada masa yang sama, penstrukturan baharu ini turut memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi, agar keseluruhan sistem ini dapat berfungsi secara efektif di semua peringkat.”
Selain itu, katanya, usaha memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri juga amat penting.
“Keupayaan bertindak balas secara pantas dan tersusun di peringkat negeri serta daerah merupakan antara penentu utama keberkesanan pengurusan bencana.
“Justeru, hubungan kerja yang lebih rapat, jelas dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri perlu terus diperkasa agar keseluruhan rantaian pengurusan bencana negara benar-benar bergerak sebagai satu pasukan.
“Insya-Allah, langkah ini akan meletakkan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia menghadapi cabaran bencana masa hadapan dengan tadbir urus yang lebih baik dan tindakan yang lebih berkesan demi melindungi rakyat serta kepentingan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
