TPM Perhalusi Isu Rakyat, Hargai Laporan Cuaca Diterima

KUALA LUMPUR, 8 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan bahawa beliau akan terus mengadakan pertemuan bersama Menteri-menteri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan serta memperhalusi isu-isu penting melibatkan rakyat.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk memastikan setiap perkara yang dibawa ke Mesyuarat Kabinet telah diteliti secara menyeluruh dan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Semoga ukhuwah dan semangat kebersamaan ini terus memperkukuh kesepakatan kita, agar setiap keputusan yang diambil benar-benar memberikan hasil serta manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas laporan keadaan cuaca yang diterima pada pagi tadi dan memaklumkan bahawa perkara tersebut akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.

Dalam hantaran terdahulu di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) turut meminta orang ramai membantu mengemas kini keadaan cuaca di lokasi masing-masing, khususnya di kawasan utara dan selatan negara susulan kejadian Operasi pembenihan awan (OPA) semalam.

Hantaran terbabit mendapat respon postif daripada khalayak yang memaklumkan tentang keadaan cuaca di kawasan masing-masing di seluruh negara.

OPA dilaksana berikutan jangkaan cuaca panas ekstrem berterusan sehingga akhir bulan ini sebelum dijangka beransur reda menjelang Jun. Dilaporkan bahawa operasi itu akan diteruskan sehingga 10 April dengan pemantauan pergerakan angin dan awan bagi memastikan hujan turun berhampiran kawasan sasaran. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO